Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) akan dipinda - Mustapha

Mustapha
Mustapha
A
A
A

PUTRAJAYA - Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) akan dipinda agar pekerja negeri itu mendapat faedah yang sama seperti pekerja di Semenanjung Malaysia, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud.

Dalam satu kenyataan pada Selasa beliau berkata, kerajaan Sabah telah memberi persetujuan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi meminda Ordinan berkenaan, dan perkara itu telah diperhalusi, dengan diadakan perbincangan antara kerajaan, majikan serta kesatuan sekerja di Sabah, dengan mengambil kira aspek ekonomi dan realiti pembangunan negeri.

Beliau berkata, peruntukan cuti bersalin kepada bapa sebanyak tujuh hari di Semenanjung ketika ini masih belum dikuatkuasakan di Sabah.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap satu kes melibatkan seorang lelaki dari Sabah yang kematian isteri selepas bersalin, yang mendakwa majikannya hanya memberikan cuti paterniti selama dua hari.

Baru-baru ini tular di media sosial perkongsian pengguna Facebook 'Exly Jailon' yang isterinya meninggal dunia di samping bayi berusia enam hari ketika dia keluar bekerja, yang mendakwa terpaksa bekerja selepas dua hari cuti kerana diugut dipotong gaji oleh majikan.

Mustapha berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah telah mendapatkan maklumat berhubung kes berkenaan dan mengikut sumber dari majikan, mereka dimaklumkan oleh pekerja itu mengenai isterinya yang telah bersalin dan memberikan cuti paterniti kepadanya selama dua hari untuk urusan berkaitan, di samping membenarkan pekerja itu mengambil cuti sehingga urusan selesai.

Beliau berkata, difahamkan enam hari selepas bersalin, pekerja itu datang bekerja dan memaklumkan bahawa isteri dan anaknya dalam keadaan sihat, dan dia boleh bekerja seperti biasa, namun apabila pulang dari kerja, lelaki itu mendapati isterinya telah meninggal dunia di samping anak yang baru dilahirkan itu.

Katanya, majikan lelaki itu memaklumkan bahawa bantuan dan sumbangan telah diberikan, termasuk urusan semasa di hospital, di samping bersedia untuk membantu apa-apa keperluan yang dikehendaki pekerja berkenaan.

Beliau berkata, siasatan JTK Sabah turut mendapati majikan memang telah memotong gaji pekerja itu selama 13 hari semasa tempoh berkabung kerana dia tidak memohon cuti tahunan, namun selepas dinasihati oleh jabatan itu, majikan menarik balik potongan gaji dan membayar gaji penuhnya.

Katanya, mengikut undang-undang, pekerja perlu bekerja genap 12 bulan terlebih dahulu untuk layak memohon cuti tahunan dan difahamkan pekerja mula bekerja dengan syarikat itu bermula 2 Dis 2022.

"Saya mohon agar netizen tidak menyalahkan sesiapa dalam kejadian ini kerana pihak majikan masih mematuhi Ordinan Buruh (Sabah Bab 67)," katanya dan menambah KSM memberikan komitmen bahawa hak pekerja akan diperjuangkan sesuai dengan Piawaian Perburuhan Antarabangsa yang digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa. - Bernama