RUU Ombudsman dijangka dibentang di Parlimen sebelum akhir tahun

Abu Kassim
Abu Kassim
A
A
A

SEREMBAN - Satu rang undang-undang baharu berkaitan penubuhan Ombudsman di Malaysia dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini, kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata, rang undang-undang itu, antara inisiatif utama di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 akan dibentangkan dalam persidangan berikutnya yang dijangka berlangsung pada November atau Disember dan drafnya kini berada di Jabatan Peguam Negara untuk dimuktamadkan.

Ombudsman adalah pegawai yang dilantik untuk menerima dan menyiasat aduan berkaitan salah guna kuasa oleh eksekutif serta pentadbirannya dan sistem ini diwujudkan bagi mencapai keadilan dalam pentadbiran.

Mana-mana orang awam yang mengadu telah mengalami ketidakadilan dalam layanan yang diterima daripada pegawai atau agensi kerajaan boleh melaporkannya kepada Ombudsman.

“Saya tidak dapat memberikan butiran mengenai ombudsman secara terperinci... tetapi secara prinsipnya, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menubuhkan Ombudsman berdasarkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, bagaimanapun Ombudsman ini akan memfokus kepada Kerajaan Persekutuan dan juga agensi-agensi yang berkaitan.

“Itulah sebabnya saya mengesyorkan sepenuhnya agar di peringkat negeri, mereka mempunyai Ombudsman sendiri yang memfokus kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perasmian Pelan Anti-Rasuah Negeri Sembilan (ANTS) 2020-2024 di Wisma Negeri di sini hari ini.

Acara itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri semua ahli Exco.

Terdahulu, ketika melancarkan pelan itu, Aminuddin berkata, ia adalah tindakan susulan daripada NACP dan Negeri Sembilan merupakan negeri kedua yang membangunkan pelan antirasuah di peringkat negeri selepas Sabah pada tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang ini amat signifikan dalam mencerminkan harapan rakyat untuk membentuk sebuah negeri yang bebas rasuah dengan warganya membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti,” katanya.

Beliau berkata, ANTS mempunyai lima bidang keutamaan yang terdiri daripada tadbir urus politik, sektor pentadbiran awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman serta penguatkuasaan.

“Di bawah lima bidang keutamaan ini, terdapat lima strategi yang digariskan dengan 97 inisiatif untuk dilaksanakan oleh semua jabatan dan agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya sambil menambah pelan itu akan menjadi sumber rujukan yang signifikan dan komprehensif dalam menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah.- Bernama