Usahawan disaran manfaat pembiayaan PKS Penjana

Zulfikri (belakang, dua dari kiri) bersama penerima anugerah usahawan sempena Program Sesi Libat Urus Bersama Usahawan MARA - AEON 'Prihatin Bersama PKS' di AEON Shah Alam hari ini.
Zulfikri (belakang, dua dari kiri) bersama penerima anugerah usahawan sempena Program Sesi Libat Urus Bersama Usahawan MARA - AEON 'Prihatin Bersama PKS' di AEON Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyarankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan tawaran pembiayaan PKS Penjana berjumlah RM300 juta yang diperuntukkan kerajaan kepada agensi itu demi kelangsungan perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, walaupun terdapat pelbagai agensi lain yang turut menawarkan skim pembiayaan seumpamanya, namun adalah menjadi hasrat Mara untuk membantu sebanyak mungkin PKS yang perniagaannya terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kita (Mara) diperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM300 juta dan ia sedang diberikan kepada PKS yang terkesan dengan penularan Covid-19.

“Kita tidak hadkan berapa ramai yang mahu memohon malah setakat ini, banyak (permohonan) telah kita terima yang sebahagiannya sudah mendapat pembiayaan mereka. Kita juga tidak meletakkan syarat yang ketat kerana kita mahu bantu PKS meningkatkan kembali perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Prihatin Mara-AEON Bersama PKS di pusat membeli-belah AEON di sini hari ini.

Malah, pembiayaan PKS Penjana Mara juga boleh dimohon secara dalam talian namun bagi usahawan yang memerlukan lebih kefahaman mengenai skim tersebut, mereka digalakkan hadir ke mana-mana pejabat agensi itu di seluruh negara bagi penerangan dengan lebih terperinci.

Zulfikri berkata, Mara akan menyalurkan pembiayaan PKS Penjana mengikut jumlah yang sesuai untuk membangunkan kembali perniagaan usahawan terlibat berdasarkan penilaian kepada beberapa aspek antaranya penyata kewangan syarikat, modal pusingan, bayaran sewa dan kadar penggajian pekerja.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama Mara-AEON, beliau berkata, AEON Malaysia telah membuka ruang niaga kepada 29 usahawan PKS di bawah agensi itu di lima pusat beli-belah syarikat berkenaan sebagai permulaan.

“Program kerjasama ini telah bermula sejak Jun lepas dan setakat ini secara kasarnya kita lihat, usahawan kita berjaya bangkit semula dengan penjualan produk masing-masing di pusat beli-belah AEON mencapai nilai jualan keseluruhan mencecah RM2 juta.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama ini juga adalah antara inisiatif Mara bagi membantu usahawan PKS yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.- Bernama