1,300 pelajar dalam senarai padam di Johor

Shaharudin (dua,kanan) bersama Aminolhuda (tengah) dan Hongpin ketika sidang media berkenaan.
Shaharudin (dua,kanan) bersama Aminolhuda (tengah) dan Hongpin ketika sidang media berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah mengenalpasti terdapat seramai 1,300 pelajar sekolah menengah dan rendah yang dipadam dalam senarai kehadiran sekolah bagi sesi tahun ini.

Pengarahnya, Shaharudin Sharif berkata, jumlah tersebut diambil daripada keseluruhan sebanyak lebih 600,000 pelajar yang menjalani sesi persekolahan tahun ini.

"Setakat ini, data yang diperolehi dari Aplikasi Pengkalan Data Murid (APDN) terdapat seramai 1,300 murid telah dimasukkan dalam senarai padam.

"Maksudnya, mereka ini telah berhenti sekolah, tidak hadir kerana mungkin mengalami masalah kemiskinan, dibuang sekolah akibat disiplin dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Seminar dan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Engku Tun Aminah (Seta), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan dan Agama Islam negeri, Aminolhuda Hassan dan Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknonologi negeri, Tan Hong Pin.

Shaharudin berkata, meskipun begitu, pelajar berkenaan tidak akan dibiarkan begitu sahaja yang mana JPN sentiasa melakukan proses susulan untuk membawa semula golongan itu kembali menerima pembelajaran.

"JPN sentiasa meletakkan kepentingan pelajar ini, kita juga akan gerakkan orang untuk buat susulan kepada mereka, kita mahu tahu apa punca mereka tidak bersekolah lagi.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ia adalah daripada masalah tidak mampu, tidak ada pakaian atau kelengkapan, mungkin kita boleh usahakan, atas inisiatif sekolah" katanya.

Mengulas mengenai Program Ziarah Cakna bagi mengenalpasti isu keciciran dalam kalangan pelajar yang dilancarkan di seluruh negara baru-baru ini, beliau berkata ia usaha bagus dan berkesan.

Katanya, menerusi program itu juga, seramai 11 pelajar daripada kalangan orang asal di negeri ini yang tercicir pelajar telah berjaya dibantu.