Resit rasmi UMNO bagi sumbangan RM2 juta bukan dokumen palsu

Pasukan pembelaan Ku Nan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa resit rasmi UMNO bagi sumbangan RM2 juta dikeluarkan kepada Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong bukan satu dokumen palsu. - Gambar hiasan
Pasukan pembelaan Ku Nan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa resit rasmi UMNO bagi sumbangan RM2 juta dikeluarkan kepada Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong bukan satu dokumen palsu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa resit rasmi UMNO bagi sumbangan RM2 juta yang dikeluarkan kepada Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong bukan satu dokumen palsu.

Datuk Tan Hock Chuan yang mengetuai pasukan itu berkata, hujah pendakwaan bahawa resit rasmi UMNO itu adalah palsu tidak boleh dipertahan kerana dokumen itu sentiasa berada dalam simpanan Kin Kong.

“Tidak pernah dipertikai bahawa anak guam saya menerima cek itu daripada Tan Sri Chai yang juga saksi pendakwaan ke-19 (SP19), beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang diadakan pada 18 Jun 2016. Tan Sri Chai Kin Kong menerima resit rasmi itu sekitar 14 Jun 2016,” katanya.

Peguam itu berkata, Kin Kong dalam keterangannya menyatakan bahawa resit itu disimpan dalam beg duit beliau dan dia ialah seorang saksi utama pendakwaan yang bercakap benar dan boleh dipercayai.

“Tidak ada cadangan daripada pendakwaan bahawa Tan Sri Chai adalah saksi yang tidak jujur dan tidak bercakap benar. Keterangan beliau adalah jelas dan konsisten,” kata peguam itu ketika berhujah di akhir kes pembelaan.

Hock Chuan juga berhujah semasa pemeriksaan balas terhadap tertuduh (Tengku Adnan), pendakwaan mencadangkan bahawa resit rasmi UMNO bagi sumbangan RM2 juta itu adalah satu dokumen palsu.

“Pendakwaan mencadangkan bahawa nombor siri 376241 (resit itu) bagi jumlah RM2 juta bertarikh 14 Jun 2016 adalah satu anomali.

"Pendakwaan turut mencadangkan bahawa semasa tertuduh ditahan pada 14 November 2018, resit seterusnya yang bernombor 376242 adalah bertarikh 16 November 2018,” katanya sambil menambah bahawa semua cadangan itu telah dinafikan anak guamnya.

Artikel Berkaitan:

Peguam itu berkata, resit rasmi UMNO dikeluarkan kepada Kin Kong bagi cek yang diberikan kepada UMNO sebagai sumbangan politik bagi membiayai PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Beliau berkata, seorang lagi saksi pendakwaan iaitu Farahdzilah Abd Kadir (SP21) yang juga Timbalan Ketua Jabatan Pengurusan Kewangan, ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan jelas memberi keterangan bahawa resit rasmi UMNO dan buku resit itu sering digunakan dan ia boleh diakses banyak pihak.

“Ini boleh menjelaskan mengapa tarikh dalam buku resit itu tidak mengikut urutan,” kata Hock Chuan.

Beliau berhujah keterangan Farahdzilah disokong tertuduh yang menyatakan berdasarkan amalan biasa, resit rasmi UMNO akan dikeluarkan bagi sumbangan diterima UMNO.

Hock Chuan berkata, berdasarkan penyataan saksi Tengku Adnan, tertuduh menyatakan bahawa jika sumbangan dibuat kepada UMNO negeri, resit akan diuruskan UMNO negeri bukan ibu pejabat UMNO.

Beliau berkata, buku resit rasmi UMNO selalunya disimpan di ibu pejabat UMNO.

“Tengku Adnan berkata kakitangan Jabatan Kewangan dan Jabatan Pentadbiran di ibu pejabat UMNO mempunyai akses kepada buku resit rasmi. Tidak ada kawalan ketat ke atas buku resit rasmi, jadi kakitangan lain turut mempunyai akses kepada buku resit rasmi,” katanya.

Hock Chuan juga berkata, apabila tertuduh menerima cek RM2 juta daripada Kin Kong pada 14 Jun 2016, tarikh itu begitu hampir dengan PRK pada 18 Jun 2016.

“Adalah logik bahawa Tan Sri Chai menerima resit rasmi UMNO pada atau sekitar 14 Jun 2016,” katanya sambil menambah bahawa pendakwaan gagal membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa resit rasmi UMNO itu adalah satu dokumen palsu.

Tengku Adnan, 69, juga dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, menerima suapan untuk dirinya sendiri sebanyak RM2 juta daripada Kin Kong menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB.

Wang itu kemudian dideposit ke dalam akaun CIMB Bank Tadmansori Holdings Sdn Bhd, yang beliau mempunyai kepentingan sedangkan diketahuinya bahawa Aset Kayamas mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tengku Adnan membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadapnya dalam kes itu.

Tengku Adnan memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang tertuduh apabila prosiding membela diri bermula pada 17 Januari lepas dan mengakhiri keterangannya pada 5 Mac.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung. - Bernama