'Tolong beritahu Presiden anda, kami tiada minyak' – Reaksi rakyat Malaysia tarik perhatian dunia

Imej satelit yang dikongsi oleh kedutaan AS di Facebook yang mendapat reaksi meluas rakyat Malaysia. - Foto Agensi
Imej satelit yang dikongsi oleh kedutaan AS di Facebook yang mendapat reaksi meluas rakyat Malaysia. - Foto Agensi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Reaksi rakyat Malaysia yang berseloroh meminta Amerika Syarikat (AS) agar 'tidak salah sasaran' mencuri perhatian media antarabangsa, susulan hantaran imej satelit oleh Kedutaan AS di Kuala Lumpur yang tular di media sosial.

Akhbar berpangkalan di Britain, The Independent melaporkan bahawa reaksi itu tercetus selepas Kedutaan AS memuat naik gambar dramatik Malaysia yang dirakam dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), memperlihatkan kilat menyambar awan ribut di ruang udara negara ini, sambil menyifatkan pemandangan berkenaan sebagai sangat mengagumkan.

Namun, hantaran yang pada asalnya bersifat santai itu mencetuskan gelombang komen berunsur jenaka dan sindiran daripada warga maya Malaysia, khususnya dalam konteks perkembangan geopolitik semasa melibatkan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Antara komen paling mendapat perhatian berbunyi, “Tolong beritahu Presiden (Donald Trump) anda kami tiada minyak. Yang ada cuma minyak masak Saji.”

Kenyataan berseloroh itu merujuk kepada tindakan terkini AS terhadap Venezuela, apabila Washington secara terbuka menyatakan hasrat untuk menguasai bekalan minyak negara Amerika Selatan itu selepas kejatuhan kepimpinan Caracas, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan sindiran di pelbagai negara.

Sebahagian pengguna media sosial turut menyindir stereotaip lama dengan menggambarkan Malaysia sebagai negara hutan tropika, kononnya didiami harimau dan buaya, tanpa sumber minyak mentah.

“Seperti yang anda lihat, kami tinggal di hutan. Tiada minyak, hanya pokok dan ribut petir,” tulis seorang pengguna Facebook.

Nada sinis itu turut disertai persoalan sama ada Malaysia bakal menjadi 'Venezuela seterusnya', walaupun majoriti netizen jelas menyampaikannya dalam bentuk jenaka dan sindiran politik.

Beberapa pengulas pula melahirkan rasa hairan terhadap penggunaan imej satelit oleh kedutaan asing, menyifatkannya sebagai sesuatu yang 'luar biasa' dalam konteks hubungan diplomatik.

Artikel Berkaitan:

Reaksi rakyat Malaysia itu mendapat liputan akhbar antarabangsa, yang menyorot bagaimana humor tempatan digunakan sebagai medium kritikan lembut terhadap geopolitik global dan campur tangan kuasa besar.

Perkembangan ini turut berlaku ketika Presiden Trump berulang kali menyuarakan hasrat untuk menguasai wilayah atau sumber strategik dunia, termasuk Greenland, sekali gus menambah sensitiviti terhadap sebarang isyarat simbolik daripada Washington.

Walaupun bersifat jenaka, respons warga maya Malaysia mencerminkan kesedaran geopolitik yang semakin matang, di mana humor dijadikan alat untuk menyuarakan kebimbangan terhadap campur tangan kuasa asing tanpa mencetuskan ketegangan terbuka. -Agensi

Ringkasan AI

  • Reaksi rakyat Malaysia yang berseloroh meminta AS agar 'tidak salah sasaran' mencuri perhatian media antarabangsa
  • Kedutaan AS memuat naik gambar Malaysia dengan kilat menyambar awan ribut yang mengagumkan
  • Komen jenaka rakyat Malaysia merujuk kepada tindakan AS terhadap Venezuela dalam konteks geopolitik
  • Netizen menyindir dengan menggambarkan Malaysia sebagai negara hutan tropika tanpa minyak mentah
  • Reaksi ini mencerminkan kesedaran geopolitik rakyat Malaysia melalui humor sebagai alat kritikan lembut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!