Penutupan masjid di Sabah bergantung kepada MKN

Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan sama ada masjid di Sabah ditutup atau sebaliknya berikutan kes positif Covid-19 meningkat bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya mengamalkan dasar yang diputuskan oleh MKN selain memastikan semua masjid di bawah jabatan itu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau turut memberi contoh pematuhan penutupan sementara masjid di Kedah.

"Terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan seumpamanya kerana memastikan SOP beribadah di masjid dan surau dipatuhi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Musa'adah Covid-19 di sini hari ini.

Setakat ini jumlah jangkitan Covid-19 di Sabah meningkat kepada 82 kes dengan empat kluster iaitu Kluster Benteng LD, Laut, Pulau dan Selamat.

Sementara itu, berkaitan Tabung Musa’adah Covid-19, Zulkifli berkata, kutipan kini melebihi RM4.5 juta dan lebih 80 peratus disalurkan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik itu.

“Kita mempunyai kriteria penerima sumbangan dan setakat ini penerima terdiri daripada orang asli, gelandangan serta asnaf,” katanya.

Pada majlis itu, Zulkifli menyampaikan sumbangan RM22,000 kepada Pertubuhan Kebajikan OKU Austisme Selangor dan RM260,500 kepada Komuniti LGBT Peserta Program Mukhayyam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Artikel Berkaitan: