Tular mengenai penamaan caruman ahli KWSP palsu

Adenan Md Yusof
Adenan Md Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penularan isu penamaan bagi caruman ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini tersebar di laman sosial adalah palsu.

Pengarah Urusan Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), Adenan Md Yusof dalam satu kenyataan berkata, isu wang caruman ahli KWSP tanpa penama atau penama individu yang meninggal dunia terdahulu daripada si mati akan disalurkan secara automatik kepada AmanahRaya adalah tidak benar dan mengelirukan.

"Sebagai sebuah agensi milik penuh kerajaan, AmanahRaya sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Tidak benar sama sekali wang caruman KWSP akan dibekukan di AmanahRaya kerana sebagai pentadbir, AmanahRaya akan membahagikan harta si mati kepada waris-waris yang berhak secepat mungkin.

"Caruman KWSP hanya akan diserahkan kepada AmanahRaya sekiranya dilantik sebagai pentadbir kepada pusaka ahli KWSP yang meninggal dunia atau sebagai pemegang amanah bagi bahagian waris bawah umur atau orang kurang upaya (OKU) kerana mereka tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk menerima wang simpanan KWSP berkenaan," katanya hari ini.

Katanya, menjadi keutamaan AmanahRaya menjaga kebajikan dan hak waris.

"Sepanjang tempoh harta berkenaan diuruskan, waris sah atau penjaga kepada waris bawah umur atau OKU boleh membuat pengeluaran dari masa ke masa bagi tujuan sara hidup, persekolahan, perayaan dan sebagainya.

"AmanahRaya boleh dilantik sebagai pemegang amanah oleh mahkamah atau Pejabat Pusaka Kecil atau diuruskan terus oleh AmanahRaya di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995. Semua pusaka dibahagikan kepada waris sah mengikut peruntukan undang-undang terpakai," katanya.

Artikel Berkaitan: