X

Kindly register in order to view this article
!

Bahrain, UAE meterai hubungan rasmi dengan Israel

Trump (dua dari kanan); Netanyahu (dua dari kiri); Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu, Abdullah bin Zayed Al Nahyan (kanan) dan Menteri Luar Bahrain, Abdullatif al-Zayani menunjukkan dokumen yang mereka tandatangani di Rumah Putih, Washington semalam. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Israel menormalkan hubungan dengan musuh bagi tempoh yang lama iaitu Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada satu majlis di Rumah Putih, semalam.

Menurut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, urusan sama yang mana AS menjadi orang tengah dalam menormalkan hubungan antara negara Yahudi itu dengan beberapa buah negara termasuk Arab Saudi semakin hampir menjadi realiti.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan menteri luar Bahrain serta UAE memeterai persetujuan bagi mewujudkan hubungan diplomatik penuh dalam satu majlis yang dihiasi dengan bendera-bendera di Rumah Putih.

Ratusan tetamu menghadiri majlis itu yang mana Trump berharap ia melonjakkan peluangnya untuk dipilih semula dalam pilihan raya Presiden AS pada November ini walaupun menularnya pandemik koronavirus (Covid-19) di negara tersebut.

Namun, tidak ada tangan yang dijabat dalam persetujuan yang bersejarah itu.

UAE dan Bahrain merupakan antara negara Arab yang mengiktiraf hubungan dengan Israel selepas Mesir pada tahun 1979 serta Jordan pada tahun 1994 manakala Trump menganggapnya sebagai satu hari bersejarah untuk keamanan di Asia Barat.

"Selepas berdekad-dekad konflik dan berpecah-belah, kita meraikan sinar baharu Asia Barat," kata Trump.

Trump berkata, perjanjian itu dikecam sebagai 'pengkhianat' oleh Palestin tetapi akan menjadi asas untuk keamanan yang komprehensif di seluruh rantau itu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, katanya, Israel akan berdepan dengan perjanjian sama dengan 'tujuh atau lapan atau sembilan' negara lagi dalam tempoh secepat mungkin termasuk kuasa Asia Barat, Saudi Arabia pada masa yang sama.

Sementara itu, Netanyahu menganggap majlis tersebut sebagai hari yang penting dalam sejarah dan mengucapkan terima kasih kepada Trump kerana ketegasan kepimpinannya.

"Ia menandakan satu sinar baharu keamanan. Pada akhirnya, ia akan menamatkan konflik Arab-Israel dulu dan semua pihak," katanya.

"Untuk semua rakan Israel di Asia Barat yang bersama kita pada hari ini (semalam) dan yang bakal menyertai kita esok, saya menyatakan assalamualaikum, keamanan untuk thee, shalom," tambahnya.

Kedua-dua menteri luar UAE dan Bahrain turut menyebut mengenai Palestin sebelum mereka menurunkan tandatangan dalam majlis tersebut.

"Terima kasih kerana memilih keamanan dan menghentikan pemilikan paksa wilayah Palestin," kata Menteri Luar UAE, Abdullah bin Zayed Al Nahyan kepada Netanyahu.

"Saya berdiri di sini untuk menghulurkan tangan kedamaian," ujarnya.

Menteri Luar Bahrain, Abdullatif al-Zayani berkata, penyelesaian dua buah negara yang komprehensif untuk konflik Israel dan Palestin akan menjadi asas keamanan Asia Barat.

Trump meramalkan Iran iaitu seteru kepada Bahrain dan UAE akan cuba untuk mencapai satu perjanjian jika dia dipilih semula sebagai Presiden AS.

"Saya berpendapat, mereka (Iran) akan membuat satu perjanjian. Saya akan membuat satu perjanjian yang amat adil," tambahnya.

Dalam pada itu, UAE menggunakan rundingan tersebut bagi mendesak Washington menjual jet pejuang F-35 yang mana Trump berkata, dia bersedia untuk menjualnya walaupun Israel menduduki Palestin. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!