Ada kuasa tekan Malaysia normalkan hubungan dengan Israel - Mapim

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap konsisten untuk menolak sebarang percubaan bagi menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, beberapa negara kini sedang berdepan tekanan politik oleh Israel untuk mengiktiraf kesahihannya sebagai negara berdaulat.

Menurutnya, tindakan itu akan menyebabkan perjuangan untuk membebaskan rakyat Palestin daripada kekejaman Israel bakal ‘berkubur’.

“Pada ketika ini, terdapat kuasa yang menekan Malaysia dan beberapa negara lain untuk menormalkan hubungan dengan Israel, Mapim sedang memantau situasi tersebut dengan teliti.

“Saya ingin tekankan kepada semua negara Islam agar tidak sekali-kali mempromosikan hubungan diplomatik dengan Israel, mereka sedang merancang untuk promosikan negara mereka di rantau Asia Tenggara, yang mana Malaysia dan Indonesia antara negara yang diminatinya,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Mohd Azmi berharap Anwar berdiri teguh dengan pendirian dan menolak sebarang cubaan dari Israel untuk menekan negara ini untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan mereka.

“Penyelesaian dua negara bagi konflik Palestin-Israel akan kekal tidak realistik kerana Israel tidak mahu menerima sebarang bentuk kompromi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Malaysia harus mengepalai Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dalam menolak pelaksanaan cadangan ‘Perjanjian Abad Ini’, sebuah perjanjian yang akan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Mengapa kita sebagai umat Islam perlu kompromi dalam hal ini? Israel tidak akan kompromi, mereka hanya mahukan kawalan penuh ke atas wilayah dan Baitulmaqdis.

"Malaysia mesti ambil tanggungjawab dan menggesa negara Islam lain untuk menolak perjanjian yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat. Kita tidak boleh kompromi,” tegasnya.

‘Perjanjian Abad Ini’ atau dikenali sebagai ‘The Deal of the Century’ merupakan perjanjian yang dicadangkan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 28 Jan 2020.

Perjanjian itu turut melibatkan penubuhan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel selain penubuhan sebuah negara Palestin dengan ibu kotanya di Abu Dis, sebuah perkampungan Tebing Barat di sebelah timur sempadan perbandaran Baitulmaqdis.

Pada hari sama perjanjian tersebut dicadangkan, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia telah mengkaji secara teliti perjanjian damai tersebut dan mendapati ia ‘sangat tidak boleh diterima’.

Pada 19 Disember lalu, Anwar berikrar Malaysia akan kekal teguh dalam perjuangan menamatkan penderitaan rakyat Palestin.

Beliau dilaporkan berkata, pentadbirannya akan terus menyokong perjuangan yang adil bagi rakyat Palestin selain mengutuk segala bentuk cubaan melupuskan hak rakyat Palestin.