Touch N Toilet pantau pergerakan pelajar

Halimatus Sadiah (dua,kiri), bersama anugerah yang dimenangi SKTH.
Halimatus Sadiah (dua,kiri), bersama anugerah yang dimenangi SKTH.
A
A
A

IPOH - Pelaburan bagi mewujudkan sistem Touch N Toilet nyata membawa tuah kepada SK Tanah Hitam (SKTH) apabila memenangi tempat pertama kategori sekolah rendah bagi Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan 2019 bagi sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Sabtu lalu.

Guru Besar SKTH, Halimatus Sadiah Mohd Sharif berkata, menerusi sistem berkenaan, setiap murid perlu mengimbas kad Touch N Toilet milik masing-masing sebelum masuk dan apabila keluar dari tandas.

Sekali gus menurutnya, pengenalan sistem berkenaan diharap membawa banyak manfaat terutamanya bagi memantau pergerakan murid-murid di sekolah berkenaan.

“Sistem Touch N Toilet ini dibangunkan hasil perbincangan yang dibuat dengan semua guru melibatkan bekas guru besar, guru-guru kanan serta guru-guru di sekolah berkenaan.

“Hasil inovasi Touch N Toilet ini, kita (guru) akan dapat mengesan pergerakan murid-murid yang keluar dari kelas. Sebagai contoh, sebelum masuk (ke tandas), murid-murid perlu mengimbas kad masing-masing dan segala perbuatan itu akan dapat dikesan menerusi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).

“Selain itu, ia boleh elakkan kegiatan ponteng kelas /sekolah, vandalisme dan juga menangani isu buli dalam kalangan murid sekolah. Maklumlah, buli ni biasanya berlaku di tempat-tempat yang tertutup,” katanya.

Halimatus Sadiah berkata demikian pada sidang media semalam, bagi mengulas kejaayan SKTH muncul pemenang tempat pertama kategori sekolah rendah sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Sabtu lalu.

Hadir sama, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Tanah Hitam, Nur Farahiyah Abd Hamid.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan sekolah berkenaan memiliki sembilan tandas iaitu empat tandas murid lelaki, empat (tandas murid perempuan) termasuk satu tandas Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagaimanapun katanya, hanya dua tandas sahaja setakat ini yang menggunakan sistem Touch N Toilet pada ketika ini.

Tinjauan Sinar Harian ke sekolah berkenaan hari ini mendapati tandas sekolah berkenaan turut dilengkapi dengan tayangan video mengenai kaedah membasuh tangan dengan betul selain cara-cara mengimbas kad bercip sebelum memasuki dan keluar dari tandas.

“Kita juga telah menggunakan sistem Water Saver yang membantu menjimatkan air sebanyak 70%. Secara keseluruhannya bertujuan untuk mewujudkan suasana keselamatan, kebersihan dan seterusnya keceriaan bagi tandas-tandas di sekolah ini.

“Pada masa hadapan, tandas di sekolah ini bukan sekadar tempat untuk murid melepaskan ‘hajat’ masing-masing, tapi tempat pengetahuan khususnya berhubung teknologi yang dibawa ke sekolah ini.

“Diharapkan murid-murid SKTH akan terus berdisplin walaupun sudah melanjutkan pengajian ke sekolah menengah mereka masih kekalkan tabiat sedemikian (bersih) walaupun tanpa cip atau kad touch ini kerana setelah bertahun belajar di sini, ia dah jadi budaya,” katanya.