Didik basuh tandas sekolah, tanam nilai kebersihan

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar anak-anak dididik untuk membersihkan tandas di sekolah sendiri adalah cara yang wajar untuk mengajar mereka tentang penjagaan kebersihan.

Ini kerana menurut Anwar, kebanyakan tandas yang merupakan kemudahan khas kepada warga sekolah di negara ini tidak terjaga dan dibaik pulih sebaiknya.

Manakan tidaknya, ada segelintir pelajar tidak bertanggungjawab dengan melakukan vandalisme dan merosakkan barangan yang terdapat di tandas.

Sebagai contoh, paip dan pengepam air yang telah dirosakkan sehingga ia tidak lagi boleh digunakan menyebabkan tandas menjadi kotor dan berbau.

Sebenarnya, isu tandas sekolah kotor bukanlah sesuatu yang pelik kerana ia sudah berlaku sejak sekian lama.

Walaupun sudah berada di abad ke-21, isu berkenaan masih lagi berterusan seolah-olah tiada penamatnya.

Sehubungan itu, pelajar-pelajar seharusnya dilibatkan dalam aktiviti menjaga kebersihan tandas, seperti diberi tugasan secara berkala selain kempen kebersihan oleh pihak sekolah secara berterusan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memastikan ia bukanlah hangat-hangat tahi ayam.

Usaha-usaha ini secara tidak langsung dapat menangani isu tandas berbau, rosak, mewujudkan rasa saling menghargai, mendidik nilai murni dan etika dalam berkongsi kemudahan asas serta menanam sikap prihatin dalam diri setiap warga sekolah.

Selain itu, usaha menjaga kebersihan tandas secara bersama mampu memberi keselesaan sepanjang masa, memupuk semangat cintakan sekolah, terhindar daripada penyakit sekali gus memastikan semua kemudahan terpelihara dan terjaga.

Tandas yang tidak bersih sebenarnya hanya akan menjejaskan keceriaan sekolah selain memberi kesan terhadap imej sekolah terlibat.

Dalam isu penjagaan tandas di sekolah, ia juga bukanlah mudah kerana terdapat segelintir ibu bapa tidak mengizinkan anak mereka terlibat dalam aktiviti menjaga kebersihan tandas.

Perkara itu turut diakui sendiri oleh Anwar yang memberitahu ada ibu bapa yang membantah dengan alasan anak mereka dihantar ke sekolah untuk belajar dan bukan mencuci tandas.

"Saya kata arahan tersebut bertujuan untuk mendidik murid-murid tentang kebersihan serta menghormati orang lain termasuk pencuci tandas," katanya.

Sementara itu, Anwar bertindak mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memeriksa tandas-tandas berkenaan bagi memastikan setiap murid bertanggungjawab terhadap kebersihan dan mendapat kemudahan yang selesa.

Anwar turut mengingatkan supaya murid-murid sekolah tidak mengambil mudah isu kebersihan serta keselesaan tandas.

Susulan itu, KPM akan memperincikan ruang pelaksanaan untuk melibatkan pelajar dalam siri pendidikan kebersihan di sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, melalui pelaksanaan yang disarankan itu akan memberikan impak dan nilai tambah kepada murid secara keseluruhan.

Tambah Fadhlina, sesi turun padang dan lawatan kerja di sekolah juga turut melibatkan semakan status kebersihan serta penyelenggaraan tandas.

Perkara tersebut juga serba sedikit mampu mendidik pelajar untuk sentiasa menjaga kebersihan setelah menggunakan sesuatu barangan.