Pasangan doktor khalwat dipenjara seminggu, denda

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEMAMAN- "Kamu berdua bekerja dalam bidang perubatan, macam mana nak ubatkan orang sakit, soal hidup dan mati orang kalau pegawai perubatan tidak tahu dosa pahala, tidak ada kredibiliti dan integriti?

"Perbuatan menghampiri zina merupakan satu kesalahan serius sehinggakan jika disabitkan kesalahan itu di bawah hukuman hudud. Bagi yang sudah berkahwin boleh direjam sehingga mati," kata Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof dalam penghakimannya sebelum menjatuhkan hukuman kepada pasangan doktor kerana kesalahan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Mohd Fakhruddin kemudian menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM2,700 terhadap pasangan kekasih berusia 27 dan 26 tahun itu.

Mereka berdepan hukuman penjara dua bulan lagi jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 itu di sebuah rumah di Mak Chili, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada 16 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Mohd Fakhruddin dalam penghakimannya berharap hukuman berkenaan dapat memberi pengajaran kepada pasangan itu dan masyarakat lain supaya tidak menghampiri zina.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pembantu kedai kek yang berstatus janda diarah menjalani pemulihan selama lima bulan di Pusat Pemulihan Wanita di Sabak Bernam, Selangor selepas mengaku salah berkhalwat dengan empat rakan lelakinya pada 21 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Wanita berusia 20 tahun itu mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 di sebuah rumah tumpangan di Kampung Bharu di sini pada jam 12.25 tengah malam.

Empat rakan lelakinya yang berusia antara 19 hingga 24 tahun itu dikeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah tanpa sebarang alasan.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah.