MAIDAM sumbang baucar makanan RM570,000 ringankan beban mahasiswa

Mohd Izani menyampaikan baucar makanan bernilai RM300 kepada penerima sempena Majlis Penzahiran Iltizam HEPA di UMT, pada Isnin.
Mohd Izani menyampaikan baucar makanan bernilai RM300 kepada penerima sempena Majlis Penzahiran Iltizam HEPA di UMT, pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyumbangkan baucar makanan bernilai RM570,000 kepada 1,903 pelajar asnaf Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui inisiatif Dapur MAIDAM bagi meringankan kos sara hidup mahasiswa di kampus itu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, setiap pelajar menerima kira-kira RM300 secara 'one-off' yang dikreditkan pada awal tahun melalui aplikasi khas universiti bagi memudahkan urusan pembelian makanan.

"Baucar makanan ini membolehkan pelajar berbelanja maksimum RM10 sehari, tetapi penggunaannya terpulang kepada mereka. Ada pelajar yang menebusnya sedikit demi sedikit sehingga setahun, mengikut keperluan masing-masing," katanya kepada pemberita sempena Majlis Penzahiran Iltizam HEPA di sini pada Isnin.

Beliau berkata, ini merupakan kali ketiga UMT menerima peruntukan Dapur MAIDAM sejak 2023 dan sumbangan kali ini meningkat hampir dua kali ganda berbanding sebelum ini selepas MAIDAM berpuas hati dengan laporan universiti berhubung penyaluran bantuan.

"Bantuan ini disalurkan khusus kepada pelajar asnaf yang telah dikenal pasti. Alhamdulillah, ia sangat membantu mereka dari segi kos makan dan minum, yang merupakan keperluan asas mahasiswa," katanya.

Selain itu, katanya, UMT turut menerima sumbangan RM100,000 daripada Pusat Ihsan UMT untuk memperkasa pelajar asnaf melalui pelbagai program pembangunan mahasiswa sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan usaha universiti melahirkan mahasiswa holistik yang cemerlang akademik, aktif dalam kokurikulum dan kepimpinan, serta mampu bersaing di peringkat global.

"Bantuan ini bukan sekadar untuk makanan, tetapi juga membolehkan pelajar terlibat dalam aktiviti universiti dan program antarabangsa.

"Misalnya, penyertaan pelajar dalam Global Student Leadership Summit di China akan ditaja sepenuhnya oleh universiti," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • MAIDAM menyumbangkan baucar makanan bernilai RM570,000 kepada 1,903 pelajar asnaf UMT
  • Setiap pelajar menerima kira-kira RM300 secara 'one-off'
  • Penggunaan baucar makanan terpulang kepada pelajar, maksimum RM10 sehari
  • Ini adalah kali ketiga UMT menerima peruntukan Dapur MAIDAM sejak 2023
  • UMT juga menerima sumbangan RM100,000 dari Pusat Ihsan UMT untuk memperkasa pelajar asnaf

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!