[VIDEO] 'Hamzah tidak tahu tentang projek tersebut' - Ahmad Ikhwan

Ahmad Ikhwan bercakap dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi susulan tindakan SPRM mengaitkan nama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pertuduhan ke atas seorang penama, Sim Choo Thiam. - Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Ikhwan bercakap dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi susulan tindakan SPRM mengaitkan nama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pertuduhan ke atas seorang penama, Sim Choo Thiam. - Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada Jumaat bagi membersihkan nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung pertuduhan kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli mendakwa, nama Ahli Parlimen Larut itu secara salah dan jahat dikaitkan dalam empat pertuduhan rasuah membabitkan projek-projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang pernah diterajuinya.

“Hamzah sebenaranya tidak tahu apakah projek yang menjadi hal dalam pertuduhan tersebut. Malah keempat-empat kes tersebut hanya menyatakan secara rambang apa-apa projek milik agensi di bawah KDN.

“Beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung fakta-fakta di dalamnya,” kata beliau ketika ditemui media selepas membuat laporan berkenaan di IPD Dang Wangi pada Jumaat.

Baru-baru ini, Hamzah meluahkan kehairanan apabila namanya dikaitkan dalam kes rasuah berkenaan walaupun tiada langsung pembabitannya.

Turut terbabit, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang menghadapi pertuduhan dalam kes sama kerana menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek agensi di bawah KDN.

Dalam pada itu, Ahmad Ikhwan menambah, meskipun Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengenali Datuk Seri tersebut, namun beliau tidak membabitkan individu berkenaan dalam apa jua urusan rasmi kerajaan.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang suapan diterima antara Hamzah dengan individu itu.

“Oleh itu, laporan ini dibuat kerana tidak mahu nama Hamzah disalahgunakan atau dibabitkan dengan apa jua pertuduhan,” ujarnya.