Kes Guan Eng hari ini 'ibu kepada semua pertuduhan'

Guan Eng diiringi peguamnya Gobind Singh Deo dan RSN Rayer tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth bagi menghadapi dua pertuduhan hari ini. - Foto Bernama
Guan Eng diiringi peguamnya Gobind Singh Deo dan RSN Rayer tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth bagi menghadapi dua pertuduhan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Dua pertuduhan kes yang melibatkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini disifatkan sebagai 'ibu kepada semua pertuduhan' yang dihadapinya berhubung projek terowong dasar laut.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahrudin Wan Ladin berkata, dua kes terbabit juga adalah pertuduhan terakhir yang melibatkan projek kontroversi itu dan pihaknya yakin mempunyai merit yang cukup untuk menjalankan pendakwaan terhadap tertuduh.

"Polisi kami di Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah akan menuduh kes yang ada 99 peratus peluang untuk menang," katanya ketika ditemui pemberita di luar kamar mahkamah.

Terdahulu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melupuskan tanah kerajaan negeri Pulau Pinang kepada syarikat pemaju di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini.

Guan Eng, 60, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lim Guan Eng didakwa lagi

Tuduhan untuk rosakkan reputasi saya, kata Guan Eng

Pada 7 Ogos, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Pada 10 Ogos lalu, Guan Eng sekali lagi didakwa di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 billion.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Pada 11 Ogos, Guan Eng sekali lagi didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk rasuah wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang mencetuskan kontroversi itu bakal menghubungkan pulau dari Persiaran Gurney dengan tanah besar di Bagan Ajam dengan anggaran kos RM6.3 bilion dan ia dijangka bermula pada 2023.

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng berdepan dua lagi pertuduhan rasuah

'Saya akan buktikan saya tidak bersalah'