Tuduhan untuk rosakkan reputasi saya, kata Guan Eng

Guan Eng bersama barisan peguamnya pada sidang media yang diadakan di Butterworth pagi tadi.
Guan Eng bersama barisan peguamnya pada sidang media yang diadakan di Butterworth pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa pihak yang mengheretnya ke mahkamah atas pertuduhan tidak berasas hari ini hanya bertujuan untuk mencemarkan dan merosakkan reputasinya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, masa yang dipilih untuk pendakwaan kes melibatkan dirinya iaitu sehari sebelum penamaan calon PRN Sabah dilihat sebagai usaha mewujudkan persepsi negatif.

Bagaimanapun, Guan Eng percaya rakyat di negeri itu mampu membuat keputusan yang tepat untuk masa depan dan kebaikan mereka.

"Dua lagi pertuduhan tambahan terhadap saya pada hari ini adalah tidak berasas, bermotifkan politik dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan yang tidak dipilih rakyat untuk mencemarkan dan merosakkan reputasi saya menjelang pilihan raya, sama ada di Sabah atau di peringkat nasional," katanya pada sidang media selepas pertuduhan di Mahkamah Butterworth di sini pagi tadi.

Terdahulu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berdepan dua pertuduhan melupuskan tanah kerajaan negeri Pulau Pinang kepada syarikat pemaju.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

ARTIKEL BERKAITAN: Lim Guan Eng didakwa lagi

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, beliau akan membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah, terutamanya apabila tiada wang ganjaran atau wang suapan dijumpai sama ada di dalam akaun bank peribadinya atau dalam pemilikan berbentuk tunai.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai dua pertuduhan baharu, Guan Eng berkata, ia melibatkan projek terowong dan tiga lebuh raya yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2013 kepada Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG).

Katanya, CZBUCG dianugerahkan kontrak tersebut melalui tender terbuka oleh Jawatankuasa Perolehan Negeri yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dianggotai oleh pegawai kanan kerajaan.

"Walaupun saya bukan anggota Jawatankuasa Perolehan Negeri, saya tetap dituduh berdasarkan kecenderungan terkini bahawa semua salah Lim Guan Eng.

"Walaupun telah disoal siasat lima kali oleh SPRM mengenai perkara ini, tiada soalan yang diajukan kepada saya mengenai ganjaran atau wang suapan yang ditemui di dalam akaun bank saya atau dalam bentuk wang tunai," katanya.