X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah benarkan Mohd Hazem baca pernyataan saksi

Mohd Hazem Abdul Rahman - Foto sumber internet
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membantah beberapa paragraf pernyataan saksi yang disediakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman.

Ia sekali gus membenarkan pernyataan saksi itu dibaca dalam prosiding kes rasuah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada Isnin ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak sejak Isnin lalu.

Bagaimanapun, Sequerah berkata, mahkamah akan memutuskan keboleh terimaan kenyataan saksi ke-10 berkenaan pada akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah akan membuat keputusan sama ada terdapat bahagian yang dipertikaikan itu boleh diterima atau sebaliknya.

“Jika bantahan pernyataan saksi diterima, akan timbul prasangka dalam kalangan pasukan pendakwaan terutama jika mereka tidak gagal membongkar kes itu,” katanya.

Beliau sehubungan itu berkata, agak terlalu awal untuk memutuskan keboleh terimaan maklumat yang akan disampaikan kerana mungkin terdapat bukti lain timbul sepanjang prosiding dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan bantah pernyataan Mohd Hazem, Khamis ini

Pada Isnin lalu, Muhammad Shafee memohon untuk menggugurkan beberapa paragraf pernyataan saksi Mohd Hazem dengan alasan ia mengandungi pelbagai tuduhan berdasarkan dengar cakap (hearsay) atau khabar angin.

Beliau berkata, pernyataan itu dilihat sebagai tuduhan yang sangat serius tanpa bukti kukuh.

Katanya, dokumen 118 halaman dan mengandungi 224 perenggan itu mengandungi terlalu banyak tuduhan dan ia bersifat tanggapan semata-mata.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam yang mewakili Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!