Sabah antara penerima faedah terbesar Jendela, kata Saifuddin

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Sabah merupakan antara penerima faedah terbesar di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang memberi keutamaan kepada projek membangunkan infrastruktur komunikasi di negeri berkenaan dari 2020 sehingga 2022.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, antara projek dilaksanakan termasuk penambahan sebanyak 382 menara komunikasi baharu sedang dirancang dan penaiktarafan 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada.

“Selain itu, 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial oleh penyedia perkhidmatan bagi meningkatkan liputan 4G.

“Sebanyak 251,166 premis akan turut disediakan dengan capaian kepada gentian optik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jendela diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, ia merupakan satu inisiatif oleh kerajaan dan pemain industri bagi mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur yang lebih cepat dan menyeluruh.

“Projek-projek di bawah Jendela dan juga program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) akan turut memberi pelbagai manfaat kepada para penduduk di daerah Pitas.

“Melalui inisiatif-inisiatif berkenaan, penduduk di Pitas kini bukan sahaja boleh meningkatkan taraf sosioekonomi hidup mereka bahkan juga melaksanakan pelbagai urusan seharian dengan mudah dan lancar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, di bawah program Jendela dan PPS, 17 menara diperuntukkan untuk Pitas iaitu tujuh daripadanya telah siap, dua sedang dibina dan lapan menara baharu sedang dirancang.

Menurutnya, salah satu menara yang sedang dibina terletak berhampiran Kampung Sapatalang dan bakal memberi capaian 4G kepada penduduk di situ dan projek itu dijangka siap menjelang suku kedua 2021.

“Sebanyak enam pemancar di Pitas telah selesai dinaik taraf kepada 4G, manakala 18 lagi dalam perancangan untuk dinaik taraf kepada 4G.

“Selain itu, Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menguruskan Pusat Internet di Kampung Pinggan-Pinggan, yang terletak 11 kilometer dari Kampung Sapatalang, telah meningkatkan kelajuan jalur lebar di situ melalui sambungan gentian optik sehingga mencapai 300Mbps.

“Pusat Internet memberikan kemudahan akses yang stabil dan berfungsi memberi bimbingan kepada masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti sosioekonomi digital,” katanya.