Nahas Elmina: Lapan waris terima faedah bulanan PERKESO September ini

Ismail ketika ditemui di pejabat PERKESO Tanjong Karang, Selangor pada Khamis.
Ismail ketika ditemui di pejabat PERKESO Tanjong Karang, Selangor pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Lapan waris mangsa pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam, pada Khamis lalu, akan menerima faedah bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) seawal bulan depan.

Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, pampasan itu melibatkan bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) secara bulanan dan berkala kepada semua waris terlibat.

Menurut Ismail, semua kes itu sudah didaftarkan di Pejabat PERKESO negeri di Petaling Jaya manakala proses pengurusan dokumen lima daripada waris penerima faedah itu akan diuruskan pejabat Cawangan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Bagi tiga waris lain, urusan itu diserahkan kepada pejabat cawangan Manjung (Perak), Sungai Petani (Kedah) dan Seremban (Negeri Sembilan) yang semuanya dijangka menerima faedah bulanan pada September ini," katanya ketika ditemui di pejabat PERKESO Tanjong Karang di sini, pada Khamis.

Ismail menjelaskan, PERKESO sudah selesai membuat bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada lapan waris mangsa.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pampasan FOT kepada setiap waris belum ditentukan setakat ini kerana melibatkan amaun berbeza.

"Penerima faedah ini membabitkan balu dan anak-anak berusia 21 tahun manakala mangsa bujang diberikan kepada ibu bapa," jelas beliau.

Terdahulu, media pada Rabu melaporkan lapan daripada 10 keluarga mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) layak menerima pampasan Perkeso.

Artikel Berkaitan:

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memaklumkan semua keluarga mangsa mempunyai kelayakan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Menerusi skim diperuntukkan dalam akta itu, waris layak menerima bayaran FPM sehingga RM2,000 dan bayaran faedah pencen berkala.

Tragedi pada 17 Ogos lalu mengakibatkan 10 mangsa terkorban termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu selain dua orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing.

Polis setakat ini mengklasifikasikan nahas itu sebagai mati mengejut (SDR) manakala siasatan dan proses mengumpul sisa pesawat turut dilakukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) serta sekumpulan pakar dari Amerika Syarikat (AS).

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan waris nahas Elmina layak terima pampasan Perkeso - Sivakumar