Cekup samseng jalanan bongkar port dadah

Penahanan seorang remaja lelaki membawa serbuan di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan tempat menghisap dadah.
Penahanan seorang remaja lelaki membawa serbuan di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan tempat menghisap dadah.
A
A
A

KUANTAN - Penahanan seorang samseng jalanan yang melakukan aksi berbahaya di Jalan Beserah menghala Kuantan membongkar 'port' dadah di sebuah rumah di Beserah, di sini semalam.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, Op Samseng Jalanan kira-kira jam 1.30 pagi itu telah mengesan seorang penunggang motosikal Honda EX5 berusia 17 tahun yang melakukan aksi wheelie.

Menurutnya, pegawai dan anggota JSPT Bukit Aman bersama JSPT Pahang mengekori remaja terbabit sehingga ke sebuah rumah di Kampung Darat Sekolah Beserah.

"Pemeriksaan di rumah terbabit mendapati terdapat 14 lagi individu berusia lingkungan 15 hingga 43 tahun.

"Siasatan mendapati tiga tangkapan membabitkan tiga beranak terdiri daripada pasangan suami isteri berusia 43 dan 40 tahun serta seorang anak lelakinya berusia 19 tahun," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Antara barang yang dirampas.
Antara barang yang dirampas.

Beliau berkata, pemeriksaan di rumah terbabit menemui pelbagai barang dipercayai untuk menghisap dadah selain beberapa ketulan mampat disyaki ganja serta peket plastik mengandungi serbuk dan ketulan disyaki syabu.

Katanya, siasatan awal dipercayai rumah terbabit dijadikan sebagai tempat untuk menghisap dadah dan ujian saringan air kencing juga mendapati lima suspek positif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Balai Trafik Kuantan untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(2) ADB 1952.