Polis gempur 32 port dadah, 109 individu ditahan

Polis Pahang melalui JSJN jalankan serbuan di jeti nelayan di sekitar daerah ini dalam Ops Hawk yang diadakan selama tiga hari berakhir pada Jumaat. - Foto ihsan Polis Pahang
Polis Pahang melalui JSJN jalankan serbuan di jeti nelayan di sekitar daerah ini dalam Ops Hawk yang diadakan selama tiga hari berakhir pada Jumaat. - Foto ihsan Polis Pahang
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang menahan seramai 109 individu terbabit dalam kes dadah dalam serbuan di 32 lokasi penagihan di sekitar daerah ini sempena Ops Hawk yang diadakan selama tiga hari berakhir pada Jumaat.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 58 tahun di sekitar Kuantan terutamanya di kawasan di pesisir pantai dan jeti nelayan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 13 individu ditahan kerana memiliki dadah manakala 96 individu pula positif dadah selepas ujian saringan dilakukan.

"Kita turut menahan 20 penagih tegar atau penagih berulang yang akan diambil tindakan bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil operasi itu juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menyita harta dengan nilai keseluruhan berjumlah RM123,000 sepanjang tiga hari operasi itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Yahaya memaklumkan, operasi terbabit kali pertama diadakan untuk membanteras kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, tindakan lebih agresif dan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan bagi menangani gejala negatif itu daripada terus menular.

"Kita yakin Ops Hawk ini juga mengurangkan kadar jenayah," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat kegiatan atau aktiviti dadah ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang di talian 09-5051999, hotline JSJN Pahang di talian 09-5052287 atau menghubungi balai polis berhampiran.