Samseng jalanan diminta serah diri - Polis

Tangkap layar rakaman video memaparkan aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal di Lebuhraya PLUS, baru-baru ini. Gambar kecil: Mat Kasim
Tangkap layar rakaman video memaparkan aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal di Lebuhraya PLUS, baru-baru ini. Gambar kecil: Mat Kasim
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis meminta sekumpulan penunggang motosikal yang dikesan mempamer aksi berbahaya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar ke Tanjung Malim dan Kuala Kubu Bahru, di sini untuk tampil serah diri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 13 saat pada Ahad memaparkan kumpulan penunggang motosikal terbabit sedang menduga kelajuan sesama mereka.

Menurutnya, penunggang terbabit turut dikesan melakukan aksi berbahaya.

"Tindakan penunggang motosikal yang menunjukkan aksi berbahaya seperti 'superman' dan zig- zag ini boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada mereka malah kepada pengguna jalan raya yang lain.

"JSPT menggesa kepada penunggang motosikal ini agar segera menyerah diri ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, JSPT mengucapkan terima kasih atas aduan berserta video yang dirakam ini dan tindakan susulan bagi mengesan pelaku akan dilakukan.

Tambah Mat Kasim, orang awam yang mempunyai maklumat akan kejadian ini, boleh menyalurkan kepada JSPT melalui Facebook Mesengger dan email terus ke protrafik_ba@rmp.gov.my.