BEKAS Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC)   Datuk Peter Velappan percaya empat negara ASEAN yang berkenaan boleh menjadi penganjur bersama  kejohanan Piala Dunia jika mereka menerima sokongan penuh kerajaan dan persatuan bola sepak kebangsaan masing-masing.

Velappan yang baru kembali dari Rusia selepas menyelia Piala Dunia FIFA 2018 yang sedang  berlangsung, berkata keempat-empat negara terbabit memiliki kemampuan untuk menganjurkan kejohanan bola sepak berprestij itu sekalipun kedudukan dunia mereka tidak sebaik benua lain seperti Eropah.

“Jika kita boleh bawa Piala Dunia ke ASEAN selepas 2026, ia akan memainkan peranan penting dalam penyatuan rantau dari segi rakyatnya.

“Bagaimanapun kita perlu bentangkan kes yang kukuh kepada FIFA sekiranya keempat-empat negara ini memang benar-benar mahu menganjurkan Piala Dunia seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico untuk memenangi penganjuran Piala Dunia 2026,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Velappan yang berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 1963 hingga 1980, menggesa AFC memberi sokongan penuh kepada empat negara terbabit iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam jika mereka memutuskan untuk meneruskan dengan pembidaan.

Selepas Rusia, Qatar akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 diikuti tiga negara Concacaf,  Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico yang baru-baru ini diberi hak oleh Fifa untuk menganjurkan secara bersama edisi 2026.

Anggota Jawatankuasa Eksekutif Fifa, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini dilaporkan berkata badan-badan bola sepak Indonesia, Thailand dan Vietnam, masing-masing menyatakan minat untuk menjadi hos bersama dengan Malaysia bagi edisi 2034. - Bernama