GURUN - Sukan renang mahu menjadi penyumbang utama pingat dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), sebagai menyahut saranan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang meletakkan sasaran pungutan 111 pingat emas.

Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata terdapat 13 acara yang akan disertai termasuklah renang, renang terbuka, renang berirama, terjun dan polo air.

"Kami meletakkan matlamat rendah iaitu sekurang-kurangnya empat pingat emas, namun kami mungkin dapat lebih daripada itu, kita akan bincang dengan persatuan dari semasa ke semasa.

"Sebagai sokongan kepada sasaran 111 pingat emas yang dinyatakan Khairy Jamaluddin, kami akan berusaha dan berlumba-lumba untuk menjadi penyumbang utama kepada pingat Sukan SEA untuk Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jerai 2017 di Dewan Sri Zaleha, di sini, hari ini.

Sementara itu, seramai 93 atlet renang dijangka beraksi pada temasya Sukan SEA ke-29 KL2017 yang bakal berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini. - Bernama
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DATUK Seri Shahidan Kassim akan melepaskan jawatan sebagai presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) yang disandangnya sejak 1996 dalam tempoh dua bulan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.