SKUAD boling negara menghadiahkan satu lagi pingat emas buat Malaysia dalam acara trio wanita pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Sunway Mega Lanes, di sini.

Gandingan mantap Esther Cheah Mei Lan-Shalin Zulkifli-Sin Li Jane berjaya membuat balingan cemerlang dengan catatan keseluruhan jatuhan pin sebanyak 3,835.

Manakala satu lagi trio negara Natasha Roslan-Siti Safiyah Amira Abdul Rahman-Syaidatul Afifah Badrul Hamidi meraih pingat gangsa selepas mengumpul 3,785 jatuhan pin, ketinggalan 10 pin dibelakang gandingan Singapura, Cherie Tan-New Hui Fen-Shayna Ng yang meraih pingat perak.

Kemenangan itu turut menamatkan kemarau 10 tahun Malaysia, yang kali terakhir memenangi kategori tersebut pada Sukan SEA di Korat, Thailand.

Shalin yang mewakili trio wanita negara dalam team A ketika ditemui menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang tidak putus-putus memberi semangat kepada mereka hingga mencapai kejayaan.

"Kemenangan ini sangat manis buat kami kerana kali terakhir meraih pingat  emas pada 2007 dan lebih manis apabila trio wanita lagi satu turut dapat pingat gangsa," katanya selepas majlis penyampaian pingat oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sementara wakil gangsa, Syaidatul Afifah dari team B berharap kemenangan gangsa akan mendorong mereka untuk melakukan yang lebih baik dalam acara berpasukan esok.

Persaingan bagi acara sama bagaimanapun tidak menyebelahi trio lelaki yang hampa tanpa sebarang pingat, sekali gus meleburkan rekod pingat emas yang dipegang pada Sukan SEA Singapura dua tahun lepas.

Kedudukan terbaik negara adalah melalui gandingan Adrian Ang Hsien Loong-Muhammad Rafiq Ismail-Ahmad Muaz Mohd Fishol yang mencatat 3,824 jatuhan pin untuk sekadar di tangga keempat, ketinggalan 56 pin dibelakang Indonesia yang menduduki tempat ketiga.

Pingat emas dan perak masing-masing dirangkul kombinasi Thailand menerusi  Atchariya Cheng-Sithipol Kunaksorn-Surasak Manuwong dan Annop Arromsaranon-Erik Kim Bolleby-Yannaphon Larp Apharat masing-masing dengan 4,113 dan 3,913 jatuhan pin.

Manakala gangsa  dimiliki Billy Muhammad Islam-Hardy Rachmadian-Ryan Leonard Lalis dari Indonesia dengan jumlah jatuhan pin adalah 3,880.

Satu lagi gandingan negara, Alex Liew Kian Liang- Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek-Timmy Tan Chye Chern pula hanya naik satu kedudukan iaitu daripada tangga ketujuh dalam set pertama hingga kelima permainan, untuk berada di tangga keenam di akhir persaingan.

Setakat ini Malaysia telah memenangi empat pingat emas acara  boling dan akan meneruskan misi  pingat  emas dalam acara lima berpasukan esok. - Bernama