PERDAMAIAN yang diharapkan Marc Marquez bersama Valentino Rossi nampaknya tidak menjadi kenyataan ekoran satu insiden memalukan yang terjadi ketika sidang media pra pelumbaan Grand Prix (GP) San Marino.

Insiden itu terjadi ketika Rossi ditanya wartawan mengenai hasrat Marquez mahu berdamai dengannya sebelum perlumbaan GP San Marino, namun juara dunia sembilan kali itu menyifatkan kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang masalah.

"Ya saya tahu tentang itu (mahu berdamai), tetapi saya pelik kerana realitinya kami tidak ada masalah. Jadi, untuk apa kami berdamai?," soalnya.

Soalan kemudiannya diajukan kepada Marquez sama ada beliau dan Rossi mahu bersalam selepas sidang media ini.

"Saya lega mendengar bahawa kami tidak ada masalah. Sudah tentu jika dia tidak keberatan untuk kami bersalam," kata Marquez sambil menghulurkan tangannya.

Malangnya, salam itu tidak disambut dengan Rossi hanya berpeluk tubuh sambil menggelengkan kepalanya, lalu meninggalkan pelumba Repsol Honda itu tersenyum kelat.

"Beginilah, apa lagi yang boleh saya katakan? Sudah kali kedua (salam tidak disambut). Tak apalah, saya akan meneruskan perlumbaan seperti biasa," kata Marquez.

Namun, Rossi lantas memberi respon berserta senyuman: "Kami tak perlu bersalaman, kami baik-baik sahaja. Tidak ada masalah," kata pelumba Yamaha itu.

Perang dingin di antara kedua-duanya bukanlah isu baharu, sebaliknya kedua-dua pelumba itu pernah bertikam lidah di Litar Sepang pada tahun 2015. Namun, hubungan mereka kembali jernih setahun selepas itu. Bagaimanapun, awal musim ini terjadi lagi pelanggaran di GP Argentina yang menyaksikan Rossi tidak dapat meneruskan perlumbaan dan gagal meraih sebarang mata.