BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Misbun Sidek yang akan memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan badminton negara Julai ini tidak menolak kemungkinan menggunakan modul sama yang disifatkan latihan ‘berat’ sekiranya didapati pencapaian semasa pemain berada pada tahap tidak memuaskan.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan penilaian terlebih dahulu perkembangan setiap pemain dan tidak teragak untuk mempraktikkan semula latihan sama sepertimana diberikan kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei suatu ketika dulu.

“Budak-budak sekarang lebih bijak, pintar tetapi mereka ini tiada juru pandu yang boleh memberi mereka melalui pengalaman. Mereka harap dengan adanya saya dapat bawa mereka ke peringkat lebih baik.

“Kita tengok keadaannya dahulu, tapi jika asasnya tidak sampai ke taraf itu, rasanya samalah,” katanya.

Melihat kekalahan Chong Wei pada pusingan kedua Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Jumaat lalu dari sudut positif, Misbun berkata, pemain nombor satu negara itu pasti akan mendapatkan semula ‘tempatnya’ bagi menghadapi misi Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos depan dengan latihan yang betul.

“Sebagai pemain bertaraf dunia, dia sudah pun berada di situ, cumanya kena perlu lebih berhati-hati kerana dia kini menjadi sasaran utama pemain lain yang sudah pun tahu corak permainannya dan di mana kelemahannya.

“Jadi untuk tempoh ini, Chong Wei perlukan latihan yang betul untuk mendapatkan keyakinan dalam permainan, kalau sebelum ini lihat prestasinya terumbang ambing, saya kira ketika itu mungkin dia keliru apatah lagi dengan corak latihan yang sentiasa bertukar-tukar jurulatih menyebabkan fokusnya sedikit hilang,” katanya.

Mengenai kesediaan beberapa bekas pemain negara untuk menyertai barisan kejurulatihan BAM, beliau berkata, sewajarnya pendedahan untuk menjadi jurulatih dibuat dari peringkat bawah bagi memantapkan pengalaman dan kemahiran.

“Kalau bekas atlet kebangsaan ini tiba-tiba berada di atas (menjadi jurulatih), bila nak bagi tips sesuatu teknik, nanti pemain itu akan rasa, dia (jurulatih) pun tak pernah menang,... jadi persepsi ini sebenarnya yang susah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KETUA Jurulatih Perseorangan Lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tidak menunjukkan tanda keresahan di sebalik kekalahan awal Datuk Lee Chong Wei di Kejohanan Badminton Terbuka Perancis, malam kelmarin.
  • “SETIDAKNYA empat tahun,” ujar ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengulas tempoh masa diperlukan untuk membentuk pemain badminton baharu yang mempunyai kualiti seperti Datuk Lee Chong Wei.
  • PEMAIN perseorangan lelaki, Lee Zii Jia mahu membuktikan beliau mampu menghadirkan kilauan pingat walaupun tidak diletakkan sebarang sasaran pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos depan.
  • JAGUH badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui corak latihan yang diterapkan jurulatih baharu perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek menghasilkan kesan positif kepada dirinya.
  • HARI INI Datuk Misbun Sidek akan memulakan sesi latihan pertamanya selepas dilantik ketua jurulatih perseorangan lelaki oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), awal bulan lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.