RATU skuasy negara Datuk Nicol David akan mengetuai cabaran skuad negara ke Kejohanan Skuasy Beregu Dunia yang akan berlangsung di Manchester, England dari 1 hingga 5 Ogos-5.

Nicol akan berpasangan dengan Rachel Arnold dalam acara beregu wanita sementara pasangan lain terdiri daripada Mohd Nafiizwan Adnan-Ivan Yuen dan Muhammad Syafiq Kamal-Ng dalam beregu Lelaki.

Dalam acara beregu campuran, Malaysia menyandarkan harapan kepada Rachel dan Ivan.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam berkata kejohanan itu akan memberi gambaran keseluruhan mengenai kedudukan pasangan Malaysia dalam sirkit beregu antarabangsa.

"Ini merupakan kejohanan beregu utama yang pertama disertai Malaysia tahun ini. Kejohanan itu menjadi pentas yang baik sebagai persiapan atlet Sukan SEA menghadapi cabaran yang mendatang.

"Ia sebagai persediaan paling berkesan untuk pasukan yang menyertai Sukan Komanwel yang akan diadakan tahun depan di Gold Coast, Australia,"kata Maniam dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum Kejohanan Beregu Dunia, skuad negara akan menyertai temasya Sukan Dunia di Wroclaw, Poland dari 25 hingga 28 Julai.

Untuk rekod, Nicol telah menyertai tiga Temasya Sukan Dunia yang lalu dengan mencatatkan hattrick meraih emas di Jerman (2005), Taiwan (2009) dan Colombia (2013) sementara Azlan Iskandar yang telah bersara, menggondol gangsa pada 2009.

"Nicol dijangka sekali lagi mempertahankan pingat emas bagi kali keempat tahun ini yang akan melakar rekod. Bagi pemain lelaki, kita menyandarkan harapan kepada Wan (Mohd Nafiizwan) atau Ivan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir," kata beliau.

Temasya Sukan Dunia menyaksikan penyertaan sejumlah 33 negara sejak ia mula diperkenalkan pada 1997 kecuali bagi tahun 2001 apabila skuasy tidak dipertandingkan sebagai acara dalam Sukan Dunia. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JUARA dunia lapan kali, Datuk Nicol David tersingkir daripada Kejohanan Skuasy Dunia 2017 selepas tunduk kepada pemain Mesir Raneem El Welily di peringkat suku akhir dalam pertandingan yang berlangsung di Manchester, England.
  • RATU skuasy negara Datuk Nicol Ann David mempamerkan aksi cemerlang dengan menempatkan diri dalam kalangan lapan pemain terbaik selepas mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Skuasy Dunia 2017 di Manchester, England, semalam (awal pagi waktu Malaysia).
  • RATU skuasy negara, Datuk Nicol David memerah keringatnya sebelum mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Hong Kong yang berlangsung di Pusat Skuasy Hong Kong, hari ini.
  • RATU skuasy Malaysia, Datuk Nicol Ann David gagal mara ke final Kejohanan Dunia 2017 setelah kalah kepada pilihan keempat dari Hong Kong, Joey Chan.
  • SELAKU status pemain pilihan kedua, ratu skuasy negara, Datuk Nicol David tidak berdepan dengan sebarang tekanan untuk mempertahankan pingat emas buat kali keempat pada temasya Sukan Dunia (TWG) di Wroclaw, Poland, bermula 20 Julai ini.