MENTERI Besar Perak mengakui kesal dengan keputusan peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), semalam.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia berikutan sepanjang lima bulan menerajui persatuan itu, Hasnul Zulkarnain telah menjalankan tanggungjawabnya dengan begitu baik.

Pihaknya percaya, keputusan besar itu dibuat bagi menghormati pandangan orang ramai juga kekesalan atas kesilapan kecil yang telah dilakukan.

"Beliau telah membuat keputusan besar yang menjanjikan pasukan Perak lebih berjaya di masa akan datang.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin menyatakan penghargaan tertinggi atas jasa bakti beliau membawa pasukan Perak hingga memenangi Piala Malaysia musim ini," katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas mengenai cadangan beberapa kelab penyokong bola sepak Perak agar beliau diangkat sebagai presiden baharu, Ahmad Faizal berkata, masih terlalu awal untuknya memberi pandangan mengenai perkara itu.

Katanya, Pafa sebagai sebuah persatuan tentunya mempunyai peruntukan perlembagaan untuk meneruskan pentadbiran dalam operasinya.

"Saya begitu yakin, barisan Exco (Pafa) dan jawatankuasanya mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

"Pada saya, buat masa ini kita perlu memikirkan bagaimana kejayaan merangkul juara Piala Malaysia ini dapat diraikan bersama rakyat dan semua penyokong," katanya.

Terdahulu, beliau ditemui pada program Minggu Fesyen Antarabangsa Ipoh, turut berkenan berangkat, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.