SKUAD negara mampu menarik nafas lega selepas mendapat undian selesa dalam kejohanan badminton berpasukan campuran Piala Sudirman yang akan diadakan di Gold Coast, Australia pada 21 hingga 28 Mei depan.

Majlis undian yang berlangsung hari ini menyaksikan Malaysia diundi bersama juara Piala Thomas 2014, Jepun dan England dalam Kumpulan 1C.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berkata, undian diterima Malaysia adalah sangat baik dan mempunyai peluang cerah untuk sekurang-kurangnya ke suku akhir.

“Kita berada dalam kumpulan yang baik dan mempunyai peluang untuk mara. Ia pasti lebih baik jika dapat menjadi juara kumpulan bagi mendapatkan undian yang lebih baik di suku akhir.

“Jepun pastinya pencabar utama untuk menjadi juara kumpulan kerana kekuatan pada perseorangan serta beregu wanita mereka,” katanya.

Namun, menurut Frost, skuad negara juga mempunyai peluang dengan kekuatan di perseorangan dan beregu lelaki serta beregu campuran.

Mengenai pilihan pemain, Frost berkata, senarai pemain masih belum ditentukan dan besar kemungkinan pemilihan akan dibuat selepas Terbuka Malaysia bulan depan.

Terdahulu, Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid  berkata, beliau tidak mahu mengatakan laluan yang diperoleh Malaysia adalah mudah walaupun berpuas hati dengannya.

“Ini kerana Piala Sudirman bergantung kepada satu pasukan campuran. Dari segi ranking keseluruhan, Malaysia berada di kedudukan kelima.

“Saya harap pemain guna peluang untuk letakkan Malaysia pasukan campuran terbaik dunia,” katanya.

Undian semalam juga menyaksikan juara 10 kali, China diundi dalam Kumpulan 1A bersama Thailand dan Hong Kong manakala Kumpulan 1B pula melibatkan Korea Selatan, Taiwan dan Rusia.

Juara Piala Thomas tahun lalu, Denmark pula diletak dalam Kumpulan 1D bersama Indonesia dan India.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.