PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mengiktiraf sebarang keputusan dan pemilihan jawatankuasa baharu pada Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk itu semalam.

Beliau berkata, perjumpaan tersebut di sebuah hotel di Seri Kembangandekat sini, adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak mengikut prosedur serta gagal memenuhi Artikel 30 Statut FAS.

Berikutan itu, Tengku Amir, yang juga Raja Muda Selangor berkata, beberapa memo sudah diedarkan oleh Sekretariat Agung FAS yang mempertikaikan kesahihan perjumpaan berkenaan.

“Beta sekali lagi ingin menekankan bahawa perjumpaan itu tidak sah, tidak mengikuti prosedur yang betul dan juga tidak diiktiraf oleh beta dan juga persatuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau mendakwa kumpulan yang menganjurkan EGM itu gagal menunjukkan sebarang bukti kepada Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa mereka mempunyai korum yang cukup untuk mengadakan kongres tersebut.

Tengku Amir berkata,  FAS telah mengadakan beberapa mesyuarat dan berbincang dengan Pesuruhjaya Sukan dan FAM selain telah memberi bukti mengapa perjumpaan itu tidak sah.

Susulan itu katanya, beliau menolak selain tidak mengiktiraf sebarang keputusan serta Jawatankuasa FAS baharu termasuk pelantikan beliau sebagai presiden pada kongres berkenaan.

Kongres tersebut menyaksikan semua jawatan termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan 13 anggota exco FAS menang tanpa bertanding bagi penggal 2017-2021. - Bernama