KEDAH menang tipis 3-2 ke atas Kuala Lumpur bagi aksi Liga Super 2018 walaupun lawan berusaha bangkit pada separuh masa kedua di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Andik Vermanshah berjaya meledakkan gol pada minit ke-12 dari jarak lebih kurang 30 meter meletakkan Kedah di hadapan 1-0.

Pada minit ke-20 tandukan Akyar ditepis keluar oleh penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Bagaimanapun pemain sayap berusia 19 tahun itu tetap berjaya mencatatkan nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol pada minit ke-25 untuk kedudukan Kedah di hadapan 2-0.

Tuan rumah terus menjarakkan kedudukan kepada 3-0 pada minit ke-32 apabila Paulo Rangel bijak menguis masuk hantaran Liridon Krasniqi.

Bagaimanapun Kuala Lumpur berjaya merapatkan kedudukan kepada 3-1 menerusi Guilherme De Paula selepas menanduk masuk sepakan percuma Paulo Josue seminit sebelum separuh masa pertama tamat.

Lang Kota mengandakan asakan pada separuh masa kedua juga menerusi tandukan De Paula pada minit ke-57 namun berjaya digagalkan penjaga gol tuan rumah, Ramadhan Abd Hamid.

Kedah kembali menyeimbangi corak permainan pasukan pelawat dan hampir menambah gol pada minit ke-70 namun sepakan leret Akhyar sekadar singgah di tiang gol lawan.

Kuala Lumpur yang tidak berputus asa menyerang kubu Kedah berjaya merapatkan jurang kedudukan kepada 3-2 pada minit ke-87 hasil tandukan Syafwan Syahlan dan keputusan tersebut ke wisel penamat.