BEKAS pengendali skuad kebangsaan tahun 1996-1997, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan sesuatu perlu dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan prestasi hambar skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Nelo Vingada.

Dalam lima perlawanan kendalian jurulatih kelahiran Portugal itu sejak dilantik pada Mac lalu, skuad kebangsaan terus kemarau kemenangan dan terbaru kekalahan 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019, kelmarin.

Sebelum itu, Vingada yang mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee turut menyaksikan anak buahnya kalah 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 dengan Hong Kong pada aksi Kumpulan B dan kalah 1-2 menentang Syria dan 0-1 kepada Myanmar dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Beliau berkata, jika melihat kepada jurulatih yang pernah memegang jawatan dengan prestasi sedemikian sebelum ini, kedudukan Vingada kini berada di penghujung jalan.

"Melihat kepada keputusan yang diraih jurulatih profesional (Vingada) kita ini memang nampak begitu mengecewakan.

"Kalau dapat lihat perlawanan bertemu Hong Kong semalam (kelmarin) kita boleh nampak tidak ada satu pergerakan menarik pun dan kebanyakannya sekadar berakhir di pertengahan jalan sahaja.

"Jadi, saya melihat sesuatu perlu dilakukan oleh pihak pengurusan (FAM) kerana sampai bila kita perlu berharap kepada keputusan yang mengecewakan seperti ini," katanya.

Namun, Wan Jamak tidak dapat memastikan adakah FAM mempunyai peranca-ngan lain bersama pengendali berbangsa Portugal itu.

"Mungkin FAM tidak melihat kepada keputusan terkini semata-mata dan fokuskan kepada perancangan masa panjang. Itu saya tidak pasti.

"Tapi kalau nak kata tengok aspek long term sekali pun, kita sudah membariskan ramai pemain muda yang menyinar daripada projek Sukan Sea tempoh hari. Tapi tak nampak pula ada pembaharuan yang telah dibawa Vingada.

"Bagi saya DNA yang ingin  dibawa  Vingada  belum dapat dilihat lagi sehingga ke hari ini," katanya.

Mengulas sama ada Vingada  perlu  mengundurkan diri secara terhormat, Wan Jamak menyifatkan itu terpulang kepada jurulatih dari Portugal itu sendiri.

"Dari  sudut  individu, saya  juga  pernah  menjadi jurulatih. Pada  saya setiap jurulatih harus ada integriti.

"Kalau rasa dah tak mampu  menjalankan tugas dengan baik dan beri sumbangan kepada skuad kendaliannya, dia patut melepaskan jawatan," ujarnya kepada Sinar Harian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal terus menyatakan alasan lapuk sejurus berakhir pertemuan terakhir berdepan kelab Liga Perdana NSW, Marconi Stallions di Australia, Khamis lalu.