PENYANDANG juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) memberi pengajaran kepada UITM FC setelah menumbangkan pasukan tersebut 4-0 dalam aksi kalah mati Piala FA di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Kejayaan tersebut menyaksikan jaguh dari selatan tanahair tersebut semakin bersemangat untuk menghampiri laluan bagi mempertahankan gelaran piala itu pada musim ini.

Bermula babak pertama, aksi kelihatan sedikit hambar pada mulanya apabila serangan kedua-dua pasukan hanya mati di bahagian tengah kerana gagal bahagian pertahanan seteru masing-masing.

Harimau Selatan terlebih dahulu menguji gawang lawan apabila tampanan Marcos Antonio hasil sepakan sudut Safiq Rahim pada minit kedua berjaya menerjah gawang pelawat namun disahkan Offside oleh pengadil perlawanan.

Bagaimanapun, tuan rumah kemudiannya dikejutkan pada minit ke-11 apabila penyerang UITM FC, Akanni Sunday berjaya menembusi pertahanan lawan namun cubaannya ketika satu dengan satu berjaya ditepis keluar Izham Tarmizi.

Akanni sekali lagi mencuri tumpuan, apabila sekai lagi menguji gawang Harimau Selatan selepas memotong hantaran Safiq Rahim pada minit ke-14 namun percubaannya sekadar melepasi palang gol.

Gonzalo Cabrera muncul penjaring pertama JDT apabila dengan mudah melorongkan gol pembukaaan pasukan setelah menyempurnakan hantaran lintang Hazwan Bakri pada minit ke-19.

JDT kemudiannya hanya mengambil dua minit untuk menggandakan jaringan apabila rembatan Hazwan Bakri hasil hantaran terus penyerang dari Argentina, Gabriel Guerra gagal dibaca penjaga gol UITM.

Anak buah Benjamin Mora menambah derita pihak lawan apabila memperoleh gol ketiga menerusi rembatan luar kotak penalti Gonzalo Guerra pada minit ke-52 hanya disaksikan penjaga gol, Mohd Soffuan Tawil.

JDT menambah kegembiraan 12,755 pengunjung yang hadir ke stadium keramat tersebut apabila pertahanan, Fadhly Shaz menyumbat gol keempat pasukan hasil tandukan daripada sepakan sudut yang diambil Safiq Rahim pada minit ke-70.

Walaupun mempunyai kelebihan dengan empat jaringan JDT tetap terus memberi tekanan kepada lawan sehingga berakhir wisel penamat yang ditiupkan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria.

Keputusan keputusan kekal 4-0 hingga wisel penamat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENJAGA gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias kini boleh menarik nafas lega selepas konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerima rayuan untuk mengurangkan hukuman penggantungannya.
  • KETUA jurulatih Selangor P. Maniam memberi pujian tinggi kepada skuad bimbingannnya atas kejayaan mereka mengalahkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-2, dalam perlawanan penuh dramatik Kumpulan D kejohanan Piala Malaysia di Stadium Selayang, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.