PEMENANG pingat emas acara lompat kijang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Muhammad Hakimi Ismail sah beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England, bermula 1-4 Mac tahun depan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata atlet berusia 26 tahun itu, bakal menggantikan tempat ‘wildcard’ yang pada awalnya ditawarkan kepada Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, bagi acara 60m.

"Hakimi meraih emas KL2017 dengan memecahkan rekod Sukan SEA dan kebangsaan (16.77m). Baru-baru ini, beliau juga disenaraikan dalam Program Podium yang dapat meningkatkan prestasinya ke tahap yang lebih tinggi.

"Buat masa sekarang, Hakimi akan bertanding atas tiket wildcard tetapi jika ada atlet-atlet lain yang layak secara merit, Hakimi terpaksa digugurkan, kerana tiket wildcard hanya boleh digunakan jika tidak ada wakil lain yang layak secara merit,” katanya selepas sidang media di Wisma Majlis OCM di sini, hari ini.

Atlet berasal dari Taiping, Perak itu bagaimanapun, bakal menerima cabaran sengit dalam penampilan pertamanya di kejohanan itu, apabila had kelayakan yang ditetapkan bagi kejohanan itu adalah 17.05m.

Karim, yang juga merupakan Ahli Majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), berkata Khairul Hafiz tidak menyertai kejohanan itu kerana jurulatihnya, Mohd Poad Mohd Kassim mempunyai perancangan lain baginya.

Sementara itu, Karim mahu menghantar lebih banyak atlet negara menyertai Kejohanan Olahraga Asia Dalam Dewan 2018 di Tehran, Iran bermula 1 Feb tahun depan.

"Ia adalah untuk memberikan mereka peluang untuk mendapatkan kelayakan ke Birmingham secara merit," katanya. - Bernama