JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT)  terus membuat persiapan awal untuk menghadapi Liga Malaysia  2018 dengan mengumumkan kemasukan semula bekas pemain antarabangsa Argentina, Luciano Figueroa ke dalam pasukan utamanya.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest berkata, keputusan Figueroa, 36 untuk keluar daripada persaraan  selepas menggantung butnya pada penghujung 2015, sudah pasti menjadi perangsang utama  kepada  skuad Harimau Selatan untuk memburu lebih banyak kejayaan, musim hadapan.  

‘Beliau merupakan legenda kami di sini dan juga duta kelab kami. Adalah menjadi satu penghormatan untuk beliau berada bersama kami.  Pengalaman dan kerja keras beliau akan menjadi contoh kepada semua pemain kami.

Beliau bekerja keras untuk kecergasannya beberapa bulan lepas bersama kami, dan terus bekerja keras di Argentina, kata Prest di dalam catatan terkini di halaman rasmi Facebook JDT.

Luciano atau lebih mesra dengan panggilan “Lucho” dalam kalangan rakan sepasukannya, memenangi beberapa kejuaraan bersama JDT termasuk Juara Liga Super 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih serta Piala AFC pada 2015.

Selepas persaraan beliau penghujung 2015, pemilik JDT  Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju  untuk melantik Luciano sebagai duta kelab sebelum dinaikkan ke jawatan Pengarah Sukan JDT, pada  awal musim ini sebelum diambil alih oleh Prest.

Pada masa yang sama, Prest berkata kelab itu amat gembira kerana memiliki satu set pemain yang berkualiti dan berpengalaman seperti pemain dari Brazil Marcos Antonio, pemain antarabangsa  Singapura  Hariss Harun, dua pemain kebangsaan,  Aidil Zaquan Abd Radzak dan Safiq  Rahim, selain pemain  seperti  Natxo Insa yang boleh memimpin dan membimbing pemain muda kelab itu menjadi pemain utama bola sepak di masa hadapan.

“Kami seperti bagaimana mereka melakukannya (beberapa kelab Eropah), seperti Juventus, Bayern Munich dan PSG. Satu gandingan pemain senior berpengalaman dan pemain muda berbakat, 2018 akan menjadi lebih menarik,” kata Prest.

Semalam, Prest mengumumkan kelab itu sudah mendapatkan dua pemain muda skuad kebangsaan bawah 22 tahun – Adam Nor Azlin dari Selangor dan Mohamed Syamer Kutty Abba dari Pulau Pinang, untuk  bersama JDT. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - STADIUM Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut mungkin menjadi venue alternatif jika Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak membenarkan Stadium Manjung digunakan sebagai gelanggang sementara pasukan Perak menghadapi saingan Liga Malaysia 2018.
  • KEJAYAAN mendapatkan pengendali dari Sepanyol, Ramon Marcote diharapkan mampu menyuntik semangat Hijau Kuning untuk lebih berdaya saing menghadapi Liga Malaysia 2018.
  • PENGENDALI Selangor, P Maniam memberi baya-ngan menggandingkan Amri Yahyah dengan ayam tambatan UiTM FC, Akanni Sunday bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018, lapor MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID.