MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai perancangan tersendiri bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi badan induk sukan itu.

Menurutnya, FAM di bawah kepimpinan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah pasti mempunyai cara tersendiri bagi memastikan kedudukan kewangan persatuan itu dapat diperkukuhkan.

Ia susulan kemungkinan FAM akan kehilangan RM34 juta sekiranya kalah dalam dua kes mahkamah berikutan perjanjian yang tidak memihak kepada kepentingan badan itu yang ditandatangani barisan Exco terdahulu.

“Saya percaya FAM sudah ada perancangan dari segi audit yang sedang dilaksanakan,” katanya selepas menyertai program jalan amal The Rock Walk 2017; iaitu kempen kesedaran austisme di Evolve Concept Mall, Ara Damansara, semalam.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Tunku Ismail melahirkan kecewa setelah mendapati barisan Exco FAM terdahulu menandatangani satu perjanjian lebih menguntungkan pihak lain dan meletakkan FAM dalam keadaan sukar.

Sementara itu, laporan media turut mendapat pandangan bekas naib presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang menyarankan FAM membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara tersebut.

Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad pula mahu kepimpinan baharu FAM mengambil masalah tersebut sebagai pengajaran ekoran kegagalan Exco sebelum ini dan lebih teliti serta berhati-hati untuk memeterai sebarang perjanjian selepas ini.

Ridzuan berkata, Exco yang terbabit dengan ‘perjanjian berat sebelah’ itu perlu bertanggungjawab atas tindakan diambil dan tampil memberi laporan serta penjelasan terhadap perjanjian tersebut. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.