LANG Merah terbang ke Kuala Terengganu dengan misi tiga mata bagi terus mencabar kedudukan kelompok atasan Liga Super 2017 dengan menghadapi T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, malam esok.

Terlepas cengkaman sebagai Pendahulu Liga Super berikutan keputusan seri 1-1 dengan PKNS pada minggu lalu, Kedah kini jatuh ke tangga ketiga selepas JDT menang tipis 3-2 ke atas Kelantan di Kota Bharu kelmarin.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe berkata, bagaimanapun beliau optimis misi untuk terus memburu tiga mata akan diteruskan oleh pemain-pemainnya walaupun agak terganggu dengan keputusan sebelum ini.

Menurutnya, perjalanan liga masih panjang dan beliau menggesa pasukannya kembali fokus kepada perlawanan bagi memastikan mereka berada pada landasan sebenar mencabar kelompok atasan.

"Tidak ada apa yang hendak dirisaukan dengan kedudukan semasa kerana Kedah dan Pahang yang mengumpul 19 mata sama hanya dibezakan satu mata sahaja dengan JDT yang kini muncul Pendahulu baru Liga Super.

Saya mempunyai keyakinan tinggi kepada anak didik saya dan mengharapkan mereka akan bangkit di Kuala Terenggganu Sabtu ini (esok)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun, kehadiran pasukan itu yang turut terkenal dengan jolokan Hijau Kuning akan turun tanpa kelibat penyerang importnya, Ken Ilso yang telah mengutip tiga kad kuning.

Jelas Cheng Hoe, beliau mengakui kehilangan penyerang Denmark tersebut namun gembira dengan kehadiran semula Fakhri Saarani dan juga sentuhan penyerang muda, Syafiq Ahmad yang semakin pintar membuka ruang dan membaca hantara rakan di dalam kubu pasukan lawan.

"Kami juga akan turun dengan pemain-pemain utama seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi dan Fitri Omar yang tidak dapat bermain menentang PKNS sebelum ini untuk memburu kemenangan di laman lawan," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.