KEDUDUKAN Lim Teong Kim selaku Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) masih belum diputuskan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantau NFDP berkata, status bekas penolong jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu bukan antara agenda yang dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut.

“Ia tidak dibincangkan. Hari ini fokus kita (jawatankuasa) adalah merangkumi aspek dari segi pengurusan program itu sendiri. Jawatankuasa ini bukan bertujuan untuk membuat keputusan tetapi  menyediakan  cadangan kepada menteri.

“Benda-benda berkaitan teknikal kita akan bincang kemudian apabila kita sudah bersedia,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat di MSN, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Teong Kim, 55, mempunyai kontrak bersama NFDP sehingga 2020.

Beliau yang bekas pemain kebangsaan dan pernah beraksi di Jerman bersama Hertha BSC dengan rekod lapan gol dalam 29 penampilan, dilihat sebagai individu tepat menyediakan platform pembangunan bola sepak tanah air apabila dilantik menyandang jawatannya pada 2013.

Nama Teong Kim menjadi perbualan hangat peminat bola sepak tempatan selepas beliau dipecat serta-merta sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16) oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan tersingkirnya skuad negara daripada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 bulan lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata, pada mesyuarat yang turut dihadiri beberapa pihak antaranya FAM yang diwakili Timbalan Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal, satu kata sepakat mengenai hala tuju NFDP telah berjaya dicapai.

“Selepas kita mengumpulkan maklumat-maklumat yang kita perlukan termasuk daripada para jurulatih dan ibu-bapa pada sesi townhall NFDP tempoh hari, kita telah dapatkan satu kata sepakat tentang bagaimana nak membawa NFDP dan AMD pada masa depan,” katanya.

Ahmad Shapawi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai mesyuarat tersebut memaklumkan sama ada cadangan jawatankuasa itu diterima ataupun tidak selain keputusan akhir diumumkan Syed Saddiq.                    

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NFDP,  Safirul Azli Abu Bakar berkata, keputusan muktamad mengenai masa depan NFDP yang sebelum ini dikatakan bakal dikendalikan FAM dijangka diputuskan awal bulan depan. - Bernama