SERAMAI 2,400 peserta  dari 73 negara akan berentap memburu gelaran pada Kejohanan Ironman Langkawi 2018, Sabtu ini.

Jumlah itu meningkat berbanding kira-kira 2,000 peserta dari lebih 60 negara pada edisi tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ironman Asia Pasifik, Geoff Meyer berkata, jumlah peningkatan sebanyak 15 peratus itu membuktikan sukan triathlon itu semakin mendapat tempat di hati peminat sukan.

"Sebanyak 71 peratus adalah dari peserta antarabangsa dan penyertaan peserta Malaysia juga semakin bertambah berbanding lima tahun lalu.

"Kita ingin pastikan sukan ini dapat diteruskan pada tahun hadapan kerana saya pasti, jumlah peserta akan meningkat tahun depan berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kejohanan itu membabitkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km, yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$25,000 (RM104,640) dan 50 peserta terbaik kejohanan layak bertanding pada Kejohanan Ironman Dunia di Kona, Hawaii, tahun depan.

Sementara itu, juara kategori profesional lelaki Ironman Langkawi 2017, Roman Guillaume dari Perancis berkata, beliau menyertai kejohanan tahun ini bukan untuk mendapatkan slot di Kona, Hawaii, sebaliknya kerana sukakan suasana, cuaca dan corak larian di Langkawi.

"Tahun lepas saya telah menyertai kejohanan di Kona dan saya rasa larian bukan untuk diri saya tetapi sekiranya menjadi juara lagi pada tahun ini, ia merupakan bonus kepada saya. Saya lebih sukakan kejohanan di Langkawi kerana ia tidak pantas berbanding di Kona," katanya.

Peserta Jerman, Mareen Hufe, naib juara kategori profesional wanita tahun lepas berkata, ini tahun ketiga penyertaannya dan berharap dapat mencatat masa lebih baik untuk muncul juara.

"Saya datang ke Langkawi seminggu awal untuk membiasakan diri dengan keadaan dan cuaca di sini,” katanya. - Bernama