KARAKTER juang tinggi dipamerkan pemain PKNP walaupun hanya menurunkan dua pemain import ketika mengekang asakan jentera Pahang dalam aksi Liga Super di Kuantan malam kelmarin mendapat pujian.

Pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata, beliau gembira apabila kesebelasan tempatan mampu mempamerkan aksi terbaik untuk membawa pulang satu mata berharga apabila mengikat Tok Gajah tanpa jaringan.

Malah menurutnya, pemain muda yang diturunkan pertama kali juga menunjukkan komitmen tinggi sepanjang perlawanan bagi mengimbangi asakan tuan rumah.

“Kesemuanya menunjukkan komitmen yang tinggi selain berusaha keras di sepanjang perlawanan untuk mengekang asakan bertali arus pasukan tuan rumah.

“Kredit untuk semua pemain terutamanya penjaga gol Mohd Syazani, pertahanan Mohd Khuzaimi, Fandi Ahmad serta penyerang muda daripada skuad Piala Presiden Mohd Hafiz yang pertama kali beraksi dalam kesebelasan utama

“Malah mereka (pemain), turut  mengasak juara Piala FA itu dan sekali gus, berjaya membawa pulang satu mata berharga,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Abu Bakar mahu kesebelasan pemain dapat memberikan fokus sepenuhnya bagi mengharungi baki lima perlawanan Liga Super, musim ini.

Katanya, kesebelasan pemain diharapkan dapat mengekalkan konsisten demi merealisasikan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik liga musim ini.

“Diharapkan semua pemain dapat kembali memberikan fokus untuk baki perlawanan selepas ini dan seterusnya mencapai hasrat kita untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya.