BALING - Seorang warga emas yang sedang tidur di tingkat atas rumahnya nyaris maut bila terperangkap dalam rumahnya yang terbakar di Kampung Seberang Titi, Pekan Kuala Pegang, hari ini.
   
Sayidda Abdul Haai, 73, tidak terdengar panggilan jiran-jirannya ketika kebakaran itu pada kira-kira pukul 12.41 tengah hari.
   
Seorang jirannya, Fadzilah Abdullah yang berniaga tidak jauh dari rumah Sayidda ketika melihat asap tebal dari bumbung rumah itu terus berlari ke rumah wanita itu dan mengetuk pintu rumahnya beberapa kali sehingga dia tersedar.
     
Beberapa jiran lain memecahkan pintu rumah itu untuk mengeluarkan warga emas itu yang keseorangan ketika kejadian.
   
Sayidda tinggal di rumah miliknya itu bersama anak lelaki, Mohammad Khalim Fateh Mohamed, 37, menantu dan tiga cucu.

"Kami berjaya kejutkan dia semasa api sedang marak tetapi setelah turun dari rumah kayu itu dia hendak masuk semula untuk mengambil barang-barangnya yang berharga tapi dapat dihalang", kata Fadzilah.
   
Keluarga mangsa kebakaran bagaimanapun enggan ditemubual.
   
Tujuh anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Baling diketuai pegawai Operasinya, Mohd Shuib bin Abu Bakar dengan bantuan 18 anggota bomba sukarela mengambil masa 20 minit untuk memadam kebakaran.
   
Mohd Shuib berkata punca kebakaran dan kerugian masih disiasat.  - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.