KUALA LUMPUR - Seramai 24 pegawai dan anggota penguat kuasa dari lima agensi penguatkuasaan di Pulau Pinang ditahan Cawangan Perisikan Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat menerima wang rasuah daripada sindiket penjualan cakera padat digital (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak.

Difahamkan kesemua mereka ditahan susulan daripada Ops Belot bertujuan memerangi rasuah bagi melepas dan melindungi jenayah yang dilancarkan SPRM baru-baru ini.

Menurut sumber, pegawai yang ditahan didapati menerima wang rasuah mencecah ribuan ringgit secara bulanan daripada sindiket VCD dan DVD.

Mereka dipercayai mengambil rasuah sebagai balasan untuk tidak mengenakan tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan sekiranya operasi dilakukan di premis terbabit.

“Pegawai dan anggota penguatkuasa yang sedang disiasat SPRM itu bertugas di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan  Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Sumber itu menjelaskan, modus operandi mereka adalah mereka akan berlakon melakukan pemeriksaan di premis perniagaan VCD dan DVD cetak rompak di sekitar Pulau Pinang.

“Setelah mendapati premis tersebut menjual VCD dan DVD cetak rompak, mereka akan berjumpa terus dengan pengusaha untuk berbincang.

“Dalam perbincangan itu, mereka akan meminta bayaran wang rasuah secara bulanan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha dan seterusnya bertindak melindungi perniagaan VCD dan DVD cetak rompak tersebut pada masa akan datang.

“Bayaran wang rasuah secara bulanan ini akan dibayar sama ada secara tunai terus kepada pegawai dan anggota penguatkuasa itu ataupun melalui akaun bank (sama ada akaun bank sendiri atau proksi) yang diberi suspek kepada pengusaha VCD dan DVD cetak rompak,” katanya.

Sumber itu menjelaskan, selagi bayaran dibuat, pengusaha premis perniagaan VCD dan DVD cetak rompak bebas menjalankan perniagaan dan kebal daripada sebarang tindakan penguatkuasaan.

“Lima anggota polis dan seorang dari KDN akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth dan Seberang Prai, esok.

"Yang lain akan didakwa waktu terdekat. Ada di antara mereka yang telah diambil tindakan tatatertib.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan penangkapan 24 pegawai penguat kuasa dari lima buah agensi penguatkuasaan berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Tempoh reman lima hari seorang penyelesai yang disiasat berhubung isu jual beli tanah di Kampung Serampang Indah, Jempol, Negeri Sembilan yang dahulunya dikenali sebagai Ladang Gatco yang berakhir hari ini dilanjutkan empat hari lagi.
  • KUALA NERUS - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak cenderung mengambil tindakan terhadap individu daripada parti politik tertentu, sebaliknya setiap siasatan yang dibuat adalah profesional dan adil.
  • SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, semalam di pejabat ahli parlimen itu di Kota Damansara.
  • PUTRAJAYA - Ketua Eksekutif sebuah perbadanan bergelar Datuk dan dua individu lain yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM40 juta dibebaskan hari ini.
  • JOHOR BAHRU - Kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dilihat semakin meningkat berikutan peningkatan pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.