Lelaki warga India tidak mengaku cabul pemandu e-hailing
MELAKA - Seorang buruh binaan warga India tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Rabu atas pertuduhan mencabul seorang pemandu e-hailing lelaki, Disember lalu.
Tertuduh, M Muthupalani, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani sejurus pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 65 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 29 Disember 2025, sekitar jam 9.25 malam, ketika berada di dalam sebuah kereta Perodua Bezza dalam perjalanan dari NSK Cheng ke Medan Selera Cheng dalam daerah Melaka Tengah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Daniel Savarimuthu, merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung dua orang anak, isteri tidak bekerja serta ibu bapa yang uzur di India.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ringkasan AI
- Seorang buruh binaan warga India didakwa mencabul seorang pemandu e-hailing lelaki di Melaka
- Tertuduh, M Muthupalani, menafikan pertuduhan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh
- Didakwa menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan mangsa berusia 65 tahun pada 29 Disember
- Kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum 10 tahun penjara
- Tertuduh diikat jamin RM4,000 dan kes akan disebut semula pada 3 Mac
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

