ALOR PONGSU - Adegan polis mengejar sebuah kereta sejauh lebih 100 kilometer merentasi Lebuhraya Utara Selatan berakhir dengan penahanan seorang lelaki di Kilometer 181.2 arah Utara, susur keluar Plaza Tol Alor Pongsu, di sini awal pagi tadi.

Insiden itu turut menyaksikan seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang mengalami kecederaan bahu dan lengan kiri setelah kereta dipandu dilanggar kereta suspek yang cuba melarikan diri melalui susur keluar persimpangan Alor Pongsu.

Sinar Harian difahamkan kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi apabila satu kes kejar mengejar di KM 230 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan melibatkan beberapa kereta polis dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai bermula dari Jambatan Pulau Pinang.

Kejadian itu menyebabkan polis mengadakan sekatan jalan raya di KM242 Lebuhraya Utara Selatan susur keluar Kuala Kangsar.

Semasa sekatan dibuat, difahamkan kereta dinaiki suspek cuba meloloskan diri memasuki lorong Smart Tag sebelum membuat pusingan U bagi menghala semula ke utara.

Ibarat adegan filem 'Polis Evo', polis kemudiannya membuat penutupan sepenuhnya jalanraya di KM 178 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, namun tindakan itu seakan-akan dihidu suspek yang akhirnya cuba melarikan diri melalui susur keluar persimpangan tol Alor Pongsu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, setelah membelok ke susur Alor Pongsu, kereta saspek terus melanggar palang di Plaza Tol Alor Ponsu dan selepas itu membelok ke simpang kiri.

Menurutnya, kereta dinaiki suspek kemudiannya terbabas dan masuk ke dalam parit lebih kurang satu kilometer dari jarak plaza tol tersebut sebelum ditangkap serta merta oleh anggota polis yang mengejarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk S Ambiga disiasat polis di bawah Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.
  • KUALA LUMPUR - Seorang pesara polis berpangkat Sarjan didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas lima pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM3,150 daripada tiga individu, dua tahun lepas.
  • GEORGETOWN - Pihak polis akan mula menjalankan siasatan penuh berkaitan insiden tanah runtuh di tapak projek pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini selepas kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa selesai dijalankan.
  • KUALA LUMPUR - Polis menggesa orang ramai yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan haram supaya membuat laporan bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap penganjur skim tersebut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.