• Pesawat ringan terhempas dekat kondominium di Melaka Pesawat ringan jenis Piper PA-28 milik Malaysian Flying Academy terhempas di tebing dekat kondominium Cheng Height Melaka hari ini.- Foto Bernama
1 /

MELAKA - Sebuah pesawat ringan jenis Piper PA-28 terhempas di tebing berhampiran Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat kondominium Cheng Height di sini, hari ini.

Juruterbang P. Devenessrao, 20, dari Bahau, Negeri Sembilan, merupakan pelatih Malaysian Flying Academy yang berada berseorangan di dalam pesawat itu hanya cedera ringan di bahagian kepala serta tengkuk dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Seorang saksi kejadian, Koperal Zameri Nawi, 50, dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berkata beliau melihat pesawat berkenaan dalam keadaan terhuyung-hayang dalam kejadian 12 tengah hari itu.

"Pesawat itu kemudian merempuh beberapa batang pokok berhampiran kondominium tersebut menyebabkan dahan-dahan pokok terpelanting ke jalan raya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau yang sedang melakukan tinjauan lalu lintas sempena Tahun Baru Cina kemudian menghubungi IPD Melaka Tengah bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Supt Ahmad Adnan Basri berkata Devenessrao berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam pada 11.15 pagi untuk melakukan latihan penerbangan sebelum membuat panggilan kecemasan kepada menara kawalan pada 11.56 pagi.

Beliau berkata, pesawat berkenaan kemudian terhempas kira-kira 30 meter daripada kondominium tersebut sebelum juruterbang terbabit keluar menyelamatkan diri.

"Pihak polis akan mengawal keadaan di sekitar kawasan kemalangan ini sementara menunggu pasukan penyiasat Jabatan Penerbangan Awam yang difahamkan akan tiba esok bagi menyiasat punca kejadian," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Timbalan Penguasa Bomba Yazid Mohd Tahir berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.01 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian bersama empat jentera dan 26 anggota dari balai itu pada 12.10 tengahari.

Beliau berkata pihaknya kemudian melakukan kerja semburan buih selepas mendapati berlaku kebocoran minyak bagi mengelak percikan api dan kebakaran.

Katanya bomba juga memasang tali pada bahagian ekor pesawat berkenaan bagi mengelak ia terjatuh ke jalan raya berhampiran. - Bernama