TAIPING – Rompak tidak kena tempat!

Ini perkataan sesuai untuk menggambarkan cubaan empat lelaki yang memecah masuk rumah bekas timbalan ketua polis daerah Kota Setar, Abd Jalil Abd Wahab di sini awal pagi tadi.

Salah seorang daripada mereka ditembak mati oleh mangsa.

Dalam kejadian 3 pagi tadi itu, empat orang dipercayai warga Indonesia memecah masuk rumah Abd Jalil.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, sejurus berjaya memecah masuk, tiga suspek telah masuk ke bilik di tingkat atas yang didiami anak perempuan, menantu dan dua cucu mangsa.

“Suspek yang semuanya bertopeng kemudiannya membawa turun anak perempuan dan menantu mangsa, selain mengugut untuk mencederakan mereka.

"Selepas itu, suspek lain cuba membuka pintu bilik mangsa dan isteri. Bagaimanapun, mangsa yang terlebih dahulu melihat sebilah parang dihulurkan melalui tepi pintu yang berjaya dibuka suspek, telah melepaskan dua das tembakan ke arah suspek,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.