Pemilik stesen minyak didenda RM30,000 jual RON95 kepada warga Thailand

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SELAYANG – [DIKEMAS KINI] Seorang pemilik sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang tular di media sosial kerana menjual petrol RON95 bersubsidi kepada pemilik kenderaan warga Thailand, tiga bulan lalu didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat.

Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu ketika prosiding dijalankan di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin.

Mahkamah memerintah tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Naziruddin selaku pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel gagal untuk mematuhi Arahan Pengawal Bekalan iaitu menjual barang kawalan berjadual petrol RON95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Thailand.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat, Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara pada jam 9.16 pagi, 1 Januari lalu.

Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd Wahab bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Nor Wahidah Muhammad, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syahmi Akif Jamili.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 Mac lalu, Mohammad Naziruddin didakwa dan mengaku bersalah atas tuduhan itu namun mahkamah menangguhkan jatuh hukum pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan, KPDN Selangor menjalankan siasatan berhubung kes tular sebuah stesen minyak di Rawang yang menjual petrol bersubsidi kepada warga asing.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, siasatan itu membabitkan aduan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand mengisi RON 95 di stesen minyak berkenaan yang mana hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), menunjukkan kejadian berlaku pada tarikh berkenaan.

Katanya, seorang lelaki disyaki warga Thailand membayar RM100 di kaunter bayaran untuk membeli minyak berkenaan dan semakan pada resit jualan mendapati kereta itu mengisi minyak petrol RON 95 sebanyak 48.8 liter.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!