SHAH ALAM - Seorang pengarah urusan syarikat Teknologi Maklumat (IT) dan kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan cuba membunuh pengarah eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat TV transit digital, Asia Media Group Bhd, Datuk Ricky Wong Shee Kai pada Mei lepas.
    
Chuah Hock Heng, 33, dari Kamunting, Perak, bersama-sama dua lagi yang masih bebas didakwa menyerang menggunakan pisau jenis Rambo dan memukul menggunakan tangan serta menendang dengan niat untuk menyebabkan kematian ke atas Wong, 31, di tempat letak kereta Saujana Golf & Country Club, Seksyen U2 di sini kira-kira 3.50 petang pada 16 Mei lepas.
    
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
    
Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim yang mengendalikan pendakwaan membantah sebarang ikat jamin diberikan ke atas tertuduh atas alasan dalam kejadian itu mangsa mengalami kecederaan teruk.
    
Beliau berkata memandangkan tertuduh dan mangsa merupakan sahabat lama, tertuduh mengetahui kediaman mangsa dan kebarangkalian untuk lelaki itu mengganggu mangsa adalah tinggi.
        
Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Chuah bagaimanapun memohon agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal kepada keluarganya, justeru dia perlu menjalankan perniagaannya.
    
"Dalam kes ini, anak guam saya hanya ditangkap 22 hari selepas tarikh kejadian dan tertuduh sendiri menghantar mangsa ke hospital dibantu oleh pengawal keselamatan di kelab golf itu. Mengenai kemungkinan berlaku gangguan ke atas mangsa, perkara ini tidak akan berlaku," katanya.
    
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar kemudian membenarkan Chuah dibebaskan dengan jaminan RM15,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 12 Julai untuk sebutan semula.
    
Beliau juga memerintahkan agar pasport tertuduh diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.